Expired : 18.06.18

Beri Perhatian Tuntutan, Aspirasi Rakyat – Agong

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pemimpin negara perlu mendengar dan mengambil kira tuntutan rakyat semasa merangka sebarang dasar dan program untuk mereka.


Seri Paduka bertitah, ini kerana rakyat kini mahukan sebuah kerajaan bertanggungjawab yang mendengar pandangan dan aspirasi mereka.


“Rakyat hari ini bukan sahaja mahukan pembangunan bahkan sebuah kerajaan yang bersih, telus, bertanggungjawab serta mendaulatkan undang-undang untuk membawa negara ke tahap lebih baik,” titah Sultan Abdullah.


Seri Paduka bertitah demikian ketika merasmikan Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen di sini hari ini. Turut berangkat ke istiadat pembukaan itu Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.


Yang di-Pertuan Agong turut mahu rasuah terus diperangi kerana gejala itu membebankan rakyat dan meruntuhkan asas sesebuah negara.


Yang turut hadir Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


Mengenai rasuah, Seri Paduka bertitah dalam mengejar kemajuan, soal integriti dan nilai-nilai murni hendaklah terus dititikberatkan.


“Beta suka menzahirkan penghargaan atas usaha kerajaan memperkenalkan Pelan Anti Rasuah Nasional dan menggubal undang-undang berkaitan untuk memperkukuh tadbir urus,” titah Sultan Abdullah sambil berharap usaha yang dilakukan dapat memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah.


Titah diraja itu banyak memuatkan hal berkaitan kepentingan rakyat seperti kos sara hidup, kesejahteraan rakyat di bandar dan luar bandar selain cabaran ekonomi, pendidikan, keusahawanan, kedudukan Islam dan pengaruh media sosial.


Sultan Abdullah bertitah kerajaan sedar bahawa peningkatan kos sara hidup adalah antara cabaran dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.


Norlida Ishak Shop