Expired : 18.06.18

Berjasa beli borang calon PRK Tanjung Piai

BANGI, 11 Safar 1441H, Khamis – Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (Berjasa) sedia meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, jika Barisan Nasional (BN) kekal mahu mempertaruhkan MCA bertanding di kerusi berkenaan.


Presidennya, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, Berjasa sudah mempunyai calon yang berwibawa untuk dipertaruhkan pada pilihan raya berkenaan, bahkan mengesahkan telah membeli borang pencalonan.


Beliau berkata, Berjasa masih lagi konsisten dengan pendirian mengutamakan calon muslim berwibawa di kawasan majoriti pengundi Melayu.


“Pada PRU14 lalu, kerusi Parlimen Tanjung Piai ditandingi oleh calon daripada Berjasa atas tiket PAS.


“Oleh itu, kita mahukan semua parti Melayu bersatu menyokong calom Melayu muslim wibawa untuk mengalahkan calon PH yang diwakili Bersatu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.


Ditanya lanjut mengenai calon yang bakal bertanding di kerusi berkenaan, Dr Badhrulhisham berkata, calon belum diumumkan, namun tokoh yang akan dipilih semestinya berwibawa. 


PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya daripada Bersatu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 43, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.


Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, menang pada PRU14 dengan majoriti 524 undi selepas menewaskan penyandang, Wee Jeck Seng daripada MCA dan Nordin Othman (PAS).


The post Berjasa beli borang calon PRK Tanjung Piai appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop