Expired : 18.06.18

Berlaku adil lah kepada Mat Sabu, kata Ridhuan Tee


Oleh Siti Fatimah Ishak


BANGI, 8 Jamadilakhir 1440H, Rabu – “Ada ijazah pun kalau bapa rasuah tidak ada guna juga. Tak semestinya tak ada ijazah tidak boleh menjadi menteri yang baik. Tetapi paling baik, biarlah ada ijazah untuk jadi menteri.”


Demikian kata pendakwah bebas, Ustaz Ridhuan Tee Abdullah ketika diminta mengulas mengenai isu beberapa menteri yang tidak mempunyai ijazah, terutama yang memegang portfolio penting, terutama Kementerian Pertahanan.


Ini kerana beberapa pihak membandingkan Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu dengan Menteri Pertahanan Indonesia dan Filipina yang dikatakan bekas pegawai tinggi tentera.


“Berlaku adil lah kepada Mat Sabu. Sebenarnya saya tidak kisah sangat sama ada seseorang itu memiliki ijazah atau tidak, apabila dilantik menjadi menteri.


“Menteri yang baik adalah menteri yang mendapatkan nasihat pakar daripada semua pakar yang ada di kementeriannya. Bukankah menteri dikelilingi oleh jeneral. Takkan jeneral-jeneral tidak dapat memberikan nasihat yang terbaik,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.


Bagaimanapun, Ustaz Ridhuan Tee mengingatkan menteri yang tidak memiliki ijazah supaya tidak berlagak pandai apabila dilantik menjadi menteri.


“Sedih saya, apabila mendengar kenyataan, banyak aset pertahanan tidak dapat digunakan. Ini sudah mendedahkan kerahsiaan keselamatan negara. Saya pernah terbaca, menteri pernah berkata dalam Dewan Rakyat hanya empat pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM TUDM sahaja yang boleh terbang, yang lain sakit.


Tidak sepatut berita ini dijadikan pendengaran umum kerana ia rahsia keselamatan negara hanya kerana marahkan kerajaan dahulu. Ada juga kedengaran kononnya pertahanan negara lemah berbanding negara Asean yang lain. Kenyataan ini tidak patut diucapkan kerana mendedahkan kelemahan keselamatan negara kepada musuh.


“Kedengaran juga mereka memperlekehkan aset-aset pertahanan kita seperti mengatakan kapal selam Scorpene milik TLDM tidak boleh menyelam. Ada juga berkata buat apa beli senjata canggih-canggih, perang dingin sudah tamat. Tidak ada keperluan pertahanan yang kuat,” katanya


Ustaz Ridhuan Tee yang pernah berkhidmat di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkata, tidak sepatutnya rahsia pertahanan dan keselamatan negara didedahkan, hanya kerana marahkan pentadbiran sebelum ini.


“Selaku bekas pelajar sarjana pengajian polisi dan keselamatan, saya merasakan kenyataan sebegitu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang bergelar menteri.


“Sebab itulah, menteri perlu tahap intelektual yang agak tinggi (ijazah) untuk menjadi menteri. Jika tidak ada kelayakan, mintalah nasihat pakar. Saya amat yakin di setiap kementerian, tidak kurang pakar-pakar yang boleh memberikan nasihat. Kepada khalayak, berlaku adillah kepada menteri, mesti pun tidak ada kelayakan yang setaraf.


“Allah tidak akan tanya apa dan setinggi mana pun ijazah kita di akhirat nanti. Yang dinilai adalah amal ibadat kita. Tetapi sudah tentu lebih baik mereka yang tinggi ilmu pada masa sama mereka tawaduk,” katanya.


The post Berlaku adil lah kepada Mat Sabu, kata Ridhuan Tee appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop