Expired : 18.06.18

Bersediakah dengan kehidupan dunia pasca COVID-19?

DUNIA yang akan kita duduki pasca wabak COVID 19 ini tidak sama dengan dunia yang pernah kita duduki sebelum ini.


Krisis yang akan kita hadapi pada tahun-tahun mendatang juga tidak akan sama seperti tahun-tahun sebelum ini. Jika sebelum ini, krisis hanya berlaku di kawasan geografi tertentu, namun kini kesannya dirasai di seluruh dunia.


Ini hanyalah permulaan kepada satu bentuk tatakelola baru dunia. Dunia yang lebih tertutup, perlahan, dan semakin mengecil pergerakannya secara realiti namun secara virtual semuanya itu berlawanan.


Alam realiti manusia dikecilkan dan, alam virtual mereka dibesarkan. Tatakelola ini akan mengatur kehidupan dari sekecil-kecil bentuk interaksi, sesama manusia dengan manusia kepada sebesar-besar bentuk interaksi antara negara dengan negara.


Di alam realiti mereka tidak dapat memisahkan manusia daripada Tuhan, kerana itulah fitrah seorang insan. Paling jauh mereka boleh lakukan adalah hanya menjauhkan, tetapi tidak sampai ke tahap manusia secara majoritinya membuang Tuhan dalam sifir kehidupan mereka.


Di alam maya yang sedang dibina ini (bagi saya ianya tidaklah terlalu jauh daripada nilai-nilai singularity yang mahu diterapkan dalam dunia kecerdasan buatan 4.0) nilai-nilai yang dibina direka supaya bersongsangan dengan segala bentuk fitrah yang ada pada alam hakikat (ilusi telah menjadi hakikat). Dengan kata lain mereka bebas mencorakkan segala bentuk undang-undang dan tatakelola baru kehidupan di alam ini.


Bagi melindungi kepentingan-kepentingan tertentu yang sangat asasi dalam kehidupan (makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, keselamatan) yang semakin mengecil di alam realiti akibat suasana kekacauan dan huru hara, manusia menjadi semakin individualistik dan “self isolate”


Skop yang sama jika di bawa kepada struktur yang lebih besar seperti hubungan antara negara dan negara yang akan semakin “mengecil, tertutup dan perlahan”. Dalam situasi ini sebarang perebutan untuk mendapatkan sumber tertentu berpotensi mencetuskan kesan pergeseran yang lebih besar, sehingga ke tahap boleh mencetuskan peperangan.


Adakah dunia akan berubah sekiranya tata kelola baru ini dinaungi oleh China selaku kuasa besar?


Ya sedikit sebanyak. Namun pendapat peribadi saya, ianya tidak akan banyak mengubah perkara-perkara struktural dan fundamental secara falsafahnya. Kedua-dua tamadun baik “barat” dan “timur” secara falsafahnya menolak tuhan dalam sistem kehidupan. Perbezaannya hanyalah dalam perkiraan strategi. Bagaimana strategi mereka menolak dalam menolak sistem kehidupan berasaskan “ketuhanan”


Jika dahulu, “barat” masih lagi berselindung melawan “agama” di bawah pakej demokrasi dan hak asasi manusia, kini di bawah satu kuasa autokratik yang baru, pembantaian terhadap “agama” akan dilakukan secara terus.


Tanpa berselindung lagi. Apa yang berlaku terhadap Xinjiang adalah studi kes yang boleh kita besarkan skopnya untuk melihat kesan yang sama akan dilakukan terhadap dunia Islam.


Dalam era di mana banyak fahaman agama yang telah diselewengkan bagi memenuhi aspirasi pembentukan sebuah tatakelola dunia yang baru, terdapat satu fahaman agama yang masih lagi tidak dapat diselewengkan secara terus.


Agama ini mempunyai idealogi yang berlawanan dan mungkin menjadi penghalang kepada projek ini, satu-satunya adalah Islam.


Fasa-fasa akan datang adalah fasa mencabar buat umat Islam. Apakah perancangan kita bagi mendepani dunia yang lebih mencabar selepas ini?


bit.ly/landskapedisi5


Asyraf Farique

Ketua Editor Fokus dan Pegawai Penyelidik IRIS Institute


Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.


The post Bersediakah dengan kehidupan dunia pasca COVID-19? appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.