Expired : 18.06.18

Bersetia Bersatu Membina Kekuatan UMNO – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menekankan bahawa UMNO adalah parti yang demokratik, matang, berstruktur dan lengkap sesuai dengan usia serta pengalamannya.


Malah katanya UMNO adalah parti yang penuh dengan semangat dan roh perjuangan yang kukuh dan mantap dan telah menempuh episod perjuangan yang lama serta melalui pelbagai liku ujian serta cabaran.



“Kematangan dan kekuatan UMNO juga dibantu oleh idea, padangan daripada pimpinan, ahli dan pelbagai pihak kepada parti. Kerana itu, pandangan yang baik, bernas dan kritikan membina yang disalurkan melalui cara yang betul penting dan amat berguna pada parti.


“Malah kebebasan bersuara, menyatakan pendapat amat subur dan diraikan dengan penuh hikmah dan bijaksana oleh UMNO.


“Namun demikian membina kekuatan dan kematangan dalam sesebuah organisasi bukanlah sesuatu yang mudah. Sudah pasti ia bukan anugerah yang datang bergolek. Semuanya melalui proses yang sangat panjang. Oleh itu kita mesti menghargainya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Kerana itu katanya, kebebasan bersuara bukan bermakna kita boleh bercakap apa saja apalagi melanggar adab, tatacara dan peraturan parti.


“Sebagai sebuah parti, UMNO punya perlembagaan yang menjadi peraturan dan perlu dipatuhi oleh ahli parti. Tidak boleh sesiapa pun yang menganggotai UMNO melanggar peraturannya.


“Setiap ahli UMNO tertakluk kepada disiplin parti di bawah Fasal 20 Perlembagaan UMNO. UMNO juga ada tataetika parti sendiri yang tidak dapat disaingi oleh parti lawan.”


Dari itu, katanya amatlah penting kepada pemimpin dan ahli disemua peringkat memelihara keutuhan UMNO.


“Ini penting bagi membolehkan UMNO terus kuat dan berdiri semula sebagai kerajaan sebagaimana yang diimpikan semua.


“Cabaran dihadapan kita besar. Kita mesti hadapi musuh sebenar kita dengan kuat dan gagah. Jika kita sayangkan parti hentikan perkara yang boleh memecahkan UMNO.”


Tegasnya, UMNO akan kuat jika kita bersatu-padu dan menghormati perlembagaan parti .


“Ini penting. Justeru, mari kita fokus menghadapi musuh sebenar kita, iaitu Kerajaan Pakatan Harapan,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Lenggong. – UMNO ONLINE


Norlida Ishak Shop