Expired : 18.06.18

BHB Jual Hotel Royal Chulan Bukit Bintang RM197 Juta





Mar 15, 2019

0 Comments







KUALA LUMPUR – Subsidiari Boustead Holdings Berhad (BHB), Boustead Hotels & Resorts Sdn. Bhd. memasuki perjanjian jual beli (SPA) dengan Every Room A Home Sdn. Bhd. untuk melupuskan pegangan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang dengan pertimbangan tunai RM197 juta.


Every Room A Home Sdn. Bhd. merupakan subsidiari Hotel Royal Limited.


BHB dalam kenyataannya berkata, pertimbangan penjualan itu berdasarkan kesediaan penjual dan pembeli dengan faktor penilaian pasaran yang saksama dan telah dinilai oleh pihak profesional bebas.


Bagaimanapun, katanya, SPA tersebut perlu mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan seperti pembeli perlu mendapatkan kelulusan daripada Unit Perancang Ekonomi bagi pengambilalihan berkenaan.




“Pembeli juga harus mendapat kelulusan Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mengambil alih harta berkenaan di bawah Seksyen 433B Kanun Tanah Negara 1965.


“Selain itu, pembeli perlu melengkapkan semua syarat dan keperluan penyenaraian yang dikenakan oleh Singapore Exchange Securities Trading Limited (SGX),” katanya di sini, hari ini.


Menurut jurucakap BHB, penjualan hartanah tersebut merupakan sebahagian daripada rancangan keseluruhan Boustead Group untuk kembali untung dengan cara melupuskan aset-aset bukan strategik.


Jelasnya, tawaran jualan berkenaan memberi nilai yang besar kepada kumpulan dengan mengambil kira prospek untuk menguruskan hotel, kadar pengambilan yang rendah, usia hartanah dan peningkatan persaingan industri.


“Hotel Royale Chulan Bukit Bintang yang terletak di lokasi strategik dalam segi tiga emas Kuala Lumpur membolehkan kami melupuskannya pada harga premium berbanding nilai buku bersih. Kumpulan dijangka merealisasikan anggaran keuntungan sebanyak RM92 juta apabila selesai kelak.


“Ini sememangnya peluang terbaik untuk meningkatkan nilai pemegang saham,” ujarnya.


Cadangan penjualan itu dijangka selesai pada pertengahan tahun ini. – UTUSAN ONLINE





Loading...








Artikel Berkaitan



Norlida Ishak Shop