Expired : 18.06.18

Bom ikan: dua penyelam China, pelatih tempatan maut di Sabah

pelancong China maut

KOTA KINABALU, 3 Zulkaedah 1440H, Sabtu – Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew berkata, dua pelancong warga China dan seorang jurulatih selaman tempatan maut ketika menyelam, akibat terkena bom ikan di Semporna, semalam.


“Kami sedih untuk melaporkan berlaku insiden pada 5.50 petang di Semporna. Ini sangat menyedihkan kami kerana ia melibatkan pengeboman ikan secara haram yang menyebabkan kematian kepada pelancong dan jurulatih selaman kita.


“Kami telah memaklumkan kepada Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu dan Ketua Menteri Sabah mengenai tragedi sedih ini. Pegawai Lembaga Pelancongan Sabah akan memantau situasi itu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.


Beliau berkata, kawasan itu berlaku di luar Taman Marin Tun Sakaran.


Liew juga menggesa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Polis Marin dan Jabatan Perikanan untuk mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti pengeboman ikan.


Beliau berkata, penalti yang lebih berat harus dikuatkuasakan oleh pegawai penguat kuasa.


Sementara itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan nelayan tempatan melakukan aktiviti pengeboman ikan sehingga mengakibatkan dua pelancong warga China dan seorang jurulatih selaman tempatan, terbunuh.


Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, beliau mahu pihak yang bersalah dikenakan hukuman setimpal dan aktiviti itu dihentikan segera sebelum banyak lagi nyawa terkorban.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah dilaporkan mengesahkan kejadian itu.


Media tempatan melaporkan kejadian didakwa berlaku antara jam 4 petang hingga 6 petang itu apabila ketiga-tiga mangsa menjalankan aktiviti selaman di perairan Semporna, sebelum terkena bom ikan yang dibaling nelayan tempatan berhampiran lokasi mangsa menyelam.


Menurut laporan itu, pengendali bot yang membawa mangsa ke lokasi menyelam berhampiran Pulau Bim-Bum itu telah membuat laporan polis.


Mohamaddin berkata, perbuatan dan aktiviti seumpama itu tidak hanya membahayakan pelancong malah akan turut mengganggu ekosistem di perairan tersebut.


“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan saya sedang menunggu laporan penuh polis berhubung kejadian terbabit.” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.


Beliau berkata, aktiviti bom ikan itu bukanlah perkara baharu kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memaklumkan kejadian seumpama itu sebelum ini.


“Apa yang lebih penting buat masa ini adalah memastikan keselamatan perjalanan dan aktiviti pelancong yang sedang bercuti di kawasan terbabit sentiasa terjamin,” katanya. – Bernama


The post Bom ikan: dua penyelam China, pelatih tempatan maut di Sabah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop