Expired : 18.06.18

Bot Iran cuba halang kapal dagang Britain di Selat Hormuz

Kapal Tentera Laut Diraja Britain

BRITAIN, 8 Zulkaedah 1440H, Khamis – United Kingdom (UK) berkata, tiga bot Iran gagal dalam cubaan untuk menghalang pelayaran sebuah kapal dagangnya – British Heritage – yang melalui Selat Hormuz, semalam.


Dalam satu kenyataan hari ini, London berkata, bot Iran itu berpatah balik selepas diberi amaran lisan oleh kapal Tentera Laut Diraja Britain yang mengiringi British Heritage.


“Kami memandang berat tindakan itu dan menggesa pihak berkuasa Iran supaya meredakan ketegangan di rantau itu,” kata kenyataan berkenaan.


Menurut agensi berita Fars, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif bagaimanapun, menolak tuduhan UK itu.


“Nampaknya kapal tangki British itu sudah melepasi (Selat Hormuz). Apa yang mereka (UK) katakan dan tuduhan yang dibuat hanya untuk mencetuskan ketegangan, dan dakwaan itu tiada asasnya,” kata Zarif.


Pengawal Revolusi Iran (IRGC) juga menafikan pembabitan mereka dalam insiden itu.



Awal hari ini, sumber tentera Amerika Syarikat (AS) memberitahu agensi berita Reuters bahawa bot dipercayai milik IRGC terbabit dalam insiden itu.


“Kapal Tentera Laut Diraja Britain, HMS Montrose, yang berada di kawasan insiden, menghalakan senjata ke arah bot terbabit dan memberi amaran kepada mereka melalui radio, sebelum semua bot terbabit melarikan diri,” kata salah seorang pegawai berkenaan.


Sumber-sumber itu berkata, tindakan bot Iran itu adalah satu gangguan dan percubaan untuk menghalang laluan kapal berkenaan.


Kejadian semalam berlaku selepas Presiden Iran, Hassan Rouhani memberi amaran kepada UK bahawa London bakal berdepan akibat dan risiko kerana menahan dan menyita kapal tangki Iran di perairan Gibraltar, minggu lalu.


Kerajaan Britain berkata, kapal tangki Iran itu yang dipercayai membawa dua juta tong minyak mentah ke Syria melanggar sekatan yang dikenakan Kesatuan Eropah ke atas rejim Bashar al-Assad.


Tehran bagaimanapun, menafikan kapal tangki itu menuju ke Syria. – Agensi


The post Bot Iran cuba halang kapal dagang Britain di Selat Hormuz appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop