Expired : 18.06.18

‘Buat apa debat dengan pencuri?’ – Syed Saddiq

SEORANG lagi pemimpin Pakatan Harapan (PH) menyokong keputusan penasihat DAP, Lim Kit Siang menarik diri daripada berdebat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Kali ini, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam reaksinya berkata, keputusan Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu adalah tepat.


“Buat apa nak berdebat dengan pencuri,” kata Syed Saddiq dipetik portal Malaysiakini.


Syed Saddiq dalam laporan tersebut menasihatkan Najib supaya berdebat dengan hakim di mahkamah susulan kes melibatkan dirinya.


Malaysiakini dalam laporannya menyebut, Syed Saddiq diminta mengulas isu tersebut memandangkan beliau bekas pendebat terbaik Asia pada 2015.


Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, Najib tidak perlu berdebat untuk membersihkan dirinya, sebaliknya berbuat demikian di mahkamah.


“Saya cadangkan Najib berdebat dengan hakim di mahkamah. Beliau akan diadili di sana. Ini kerajaan yang berpegang teguh dengan prinsip rule of law,” katanya lagi.


Presiden PKR Anwar Ibrahim semalam menyokong keputusan Kit Siang dengan menyifatkan ia langkah baik untuk mengelakkan ketegangan kaum.


Sebelum ini Kit Siang dilihat sering menumpukan kritikannya terhadap Najib meskipun ahli parlimen Pekan itu bukan lagi perdana menteri atau presiden UMNO.


Susulan itu, Najib dalam satu temubual mencabar Kit Siang untuk berdebat dengan sebarang topik.


Kit Siang dalam responnya menyahut cabaran itu dan mencadangkan topik debat “Bagaimana Malaysia menjadi negara kleptokrasi global dan bagaimana kita mampu menjadi peneraju negara berintegriti”.


Najib kemudian bersetuju dengan topik itu dan mencadangkan supaya acara debat itu diadakan selepas Aidilfitri dan disiarkan secara langsung di televisyen.


Dua hari kemudian, Kit Siang memaklumkan bahawa dia menarik diri dari menyertai debat itu kerana menurutnya dia menerima segunung surat dan nasihat daripada penyokongnya untuk tidak turut serta.


Sebab utama yang dinyatakan adalah, menurut Lim, kebimbangan debat dengan Najib itu akan dijadikan “konflik Melayu lawan Cina”.


Najib bagaimanapun mendakwa Kit Siang sekadar memberi alasan.


“Adakah ini satu pengakuan dari Kit Siang bahawa DAP adalah parti Cina?


“Ini debat antara dua ahli parlimen. Tak ada kena-mengena dengan isu perkauman,” kata Najib.


The post ‘Buat apa debat dengan pencuri?’ – Syed Saddiq appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop