Expired : 18.06.18

‘Buat laporan jika ada bukti PH rasuah pemimpin UMNO’


KUALA LUMPUR, 21 Safar 1440H, Selasa – Tiada sebarang perjanjian berunsurkan wang dengan pemimpin UMNO untuk mereka menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.


Perdana Menteri itu berkata, setakat ini, Bersatu tidak mengenakan syarat berbentuk wang untuk ‘memancing’ mereka masuk ke parti berkenaan.


Beliau bagaimanapun mengalu-alukan pihak yang mendakwa menjumpai bukti kerajaan Pakatan Harapan (PH) merasuah pemimpin UMNO untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.


“Kita tidak buat perjanjian dengan penjenayah. Namun, jika anda menemui beberapa kes yang berkaitan rasuah, anda dialu-alukan untuk membuat laporan supaya tindakan boleh diambil,” katanya.


Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Antirasuah 2018 di sini, hari ini.


Beliau berkata, kemasukan ahli UMNO ke dalam Bersatu, terutama yang berstatus Ahli Parlimen perlu mengikut syarat yang ditetapkan, iaitu keluar parti dan mengisytiharkan diri sebagai Ahli Parlimen Bebas.


“Contohnya, Datuk Seri Mustapa Mohamed (Ahli Parlimen Jeli). Beliau menjadi Ahli Parlimen Bebas untuk tempoh masa tertentu sebelum permohonan beliau masuk Bersatu diluluskan,” katanya.


Sebelum ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk A Kadir Jasin berkata, kira-kira 40 anggota Parlimen UMNO berkemungkinan akan meninggalkan parti itu dan menyertai Bersatu.


Beliau berkata, kesemua mereka dikatakan berpotensi berbuat demikian kerana sudah beberapa kali berjumpa dengan Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyididn Yassin, termasuk kepimpinan tertinggi parti itu, sama ada secara perseorangan atau berkumpulan.


The post ‘Buat laporan jika ada bukti PH rasuah pemimpin UMNO’ appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop