Expired : 18.06.18

Budak 10 tahun meninggal disyaki dipukul bapa kandung

KAJANG, 28 Rabiulawal 1440H, Khamis – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun maut dipercayai didera bapa kandungnya, kata Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff.


Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada doktor di Hospital Serdang mengenai kanak-kanak itu yang dibawa keluarganya dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 10.30 malam semalam.


“Mangsa disahkan meninggal dunia dan pemeriksaan fizikal mendapati terdapat kecederaan fizikal dengan kesan luka di bahagian kepala, badan, kaki dan tangan, selain kesan lebam di seluruh badan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.


Beliau berkata, hasil bedah siasat ke atas kanak-kanak malang itu petang tadi mendapati kematiannya disebabkan kecederaan tumpul berganda pada keseluruhan badan (multiple blunt trauma to the whole body).


Susulan itu, Ahmad Dzaffir berkata, polis menahan bapa mangsa berumur 43 tahun, di Semenyih pada jam 9.30 pagi tadi bagi membantu siasatan.


Beliau berkata, mangsa adalah anak kedua daripada tiga beradik.


Siasatan awal mendapati suspek menjaga ketiga-tiga anaknya kerana isterinya telah meninggalkan rumah sejak dua bulan lalu.


Beliau berkata, reman ke atas suspek akan dimohon di Mahkamah Majistret Kajang esok dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes ASP Azlinda Abtu di talian 0126853281. – Bernama


The post Budak 10 tahun meninggal disyaki dipukul bapa kandung appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop