Expired : 18.06.18

Budak Klopp lagi bagus berbanding Arsenal 'Invincibles'

LIVERPOOL di bawah bimbingan Jurgen Klopp yang kini memimpin Liga Perdana lebih mengagumkan berbanding era Arsenal musim 2003/2004 yang mendapat gelaran ‘Invincibles’.


Perkara itu diakui sendiri oleh bekas pemain tengah Gunners, Emmanuel Petit.


Selepas 29 perlawanan, juara Liga Juara-Juara musim lalu itu selesa dengan kelebihan 25 mata di tangga teratas Liga Perdana dan hanya tewas satu perlawanan musim ini.


Petit yang beraksi 116 kali bersama Arsenal dan membantu merangkul kejuaraan Piala FA pada 1998, mendakwa skuad bimbingan Klopp lebih mengagumkan berbanding Gunners yang memenangi kejuaraan liga 16 tahun lalu tanpa sebarang kekalahan.


“Saya amat menghormati pasukan lama saya tetapi apabila melihat Liverpool dan apa yang dilakukan sejak dua tahun lalu, orang ramai mula melihat kepada mereka.


“Tahun lalu mereka memenangi Liga Juara-Juara tetapi sebenarnya Liverpool sudah konsisten sejak dua hingga tiga tahun lalu.


“Amat menakjubkan melihat kepada keupayaan mereka. Agak sukar melihat pasukan yang memenangi banyak perlawanan dan sangat dominan apabila bertemu lawan mereka.


“Arsenal dan Liverpool hebat dalam era masing-masing tetapi bagi saya pasukan Liverpool kali ini lebih istimewa. Sukar untuk menjelaskan apa yang saya maksudkan apabila melihat Liverpool, tetapi secara mudahnya ialah saya melihat mereka berbeza berbanding pasukan Invincibles.


“Mereka lebih menyerlah berbanding Arsenal ‘Invincibles’. Saya tahu barisan pemain Arsenal tidak gembira dengan kenyataan ini tetapi saya perlu bersikap jujur,” katanya.


Status saingan Liga Perdana masih belum jelas apabila ia ditangguhkan sehingga 30 April depan berikutan wabak Covid-19.