Expired : 18.06.18

_Bukan Contoh Buku Lucah Tetapi Terangkan Perkara 152

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Daripada memberi contoh tulisan Jawi dalam buku lucah, adalah lebih baik untuk Ahli Parlimen DAP menerangkan sebaiknya peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan bahasa kebangsaan.


Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, selain itu, jelaskan juga bahawa Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1967 menyebut


“Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi: dengan syarat ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali sebagai tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.”


“Didiklah masyarakat kita perihal Perlembagaan Persekutuan yang mana semua rakyat dilindungi hak di bawahnya.



“Ajarilah rakyat agar menghormati akta yang telah ditetapkan agar keharmonian terjaga,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Jelas Mohd. Fared, sebenarnya banyak lagi kaedah dan contoh yang boleh digunakan dalam usaha menjelaskan perihal tulisan Jawi ini kepada bukan Melayu.


Namun soalnya, kenapa pula buku lucah bertulisan Jawi yang disibukkan sedangkan sepatutnya ceritalah perihal Jawi merupakan tulisan di zaman pemerintahan kesultanan Melayu dan juga tulisan masyarakat Melayu di Nusantara ini.


“Serulah dengan bersungguh-sungguh agar semua masyarakat Cina di Malaysia menggunakan bahasa Melayu sebaiknya,” ujarnya.


Dalam pada masa sama, Mohd. Fared mengingatkan janganlah pula orang yang memberi maklum balas bertentangan dianggap sebagai ‘pencetus isu perkauman’, sedangkan pihak yang memulakan ‘cetusan isu perkauman’ hanya cukup meminta maaf dan seterusnya dimaafkan lalu dilupakan.


“Didik dan ajarlah rakyat dengan betul. Janganlah jadi seperti bidalan “Bodoh tak boleh diajar, cerdik tak boleh diikut,”tegasnya. – UTUSAN ONLINE


Norlida Ishak Shop