Expired : 18.06.18

Bukan diskriminasi - Wan Sukairi

KERAJAAN negeri belum membuat keputusan lagi berhubung penyertaan atlet wanita dalam acara gimnastik dan gimrama pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor pada 2020.


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata perkara terbabit belum diputuskan kerana kerajaan negeri masih dalam proses merangka garis panduan terbaik dan etika pemakaian patuh syariah untuk atlet yang mewakili Terengganu.


Katanya, etika terbabit bagaimanapun hanya perlu dipatuhi atlet beragama Islam dan tiada paksaan bagi atlet bukan Islam untuk mematuhi etika pemakaian bakal diputuskan nanti.


"Garis panduan patuh syariah masih dalam proses pemurnian dan ia meliputi semua aspek dan bukannya sekadar etika pemakaian saja.


"Jika garis panduan ini akan diguna pakai suatu hari nanti, atlet beragama lain tidak akan dipaksa untuk mengikuti garis panduan yang disediakan untuk atlet muslim nanti, tapi asalkan melepasi kelayakan dan prospek pingat, mereka akan mewakili Terengganu.


"Cuma di sini sukar mendapatkan atlet berbangsa Cina dalam sukan seperti gimnastik, renang dan wushu, ini bukan sebab kami mengamalkan diskriminasi," katanya menerusi kenyataan media hari ini.


Beliau berkata demikian bagi membalas isu dibangkitkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam yang tidak menolak kemungkinan akan mengambil alih Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) jika kerajaan negeri Terengganu menggantung penyertaan atlet dalam acara gimnastik wanita.


Menerusi laman twitter rasminya, Syed Saddiq berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan bertoleransi dengan tindakan sedemikian terhadap atlet.


"Saya akan mengadakan perjumpaan dengan atlet yang terjejas untuk memastikan masa depan mereka tidak terjejas,” jelas Syed Saddiq.


Mengulas lanjut, Wan Sukairi menjelaskan setakat ini tiada keputusan lagi dibuat oleh MSNT berhubung senarai nama atlet yang bakal bertanding dalam temasya terbabit kerana tempoh pendaftaran belum dibuka.


"Selepas pendaftaran dibuka kami akan menilai dan menyenaraikan atlet terbaik untuk menggalas cabaran negeri kerana kita tetap mempertaruhkan barisan atlet terbaik bagi memburu pingat di Johor itu nanti," ujar Wan Sukairi.


Norlida Ishak Shop