Expired : 18.06.18

Bukan Malaysia Baharu tapi ‘Malaysia Sengsara’: Khaled


BANGI, 1 Jamadilakhir 1440H, Rabu – “Usah buang masa meneka-neka sama ada persefahaman antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Lim Kit Siang itu tulen atau mereka sekadar bermuka-muka”.


Demikian kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kepada bangsa Melayu, sambil mengingatkan bahawa Malaysia lebih penting daripada sengketa Dr Mahathir dan Datuk Seri Najib Razak.


Beliau berkata, ramai pengundi Melayu memilih Pakatan Harapan (PH) bukan kerana terlalu mahukan Dr Mahathir, tetapi kerana mereka tidak suka kepada kepimpinan lama dan masalahnya.


“Jadi, adalah sangat tidak bertanggungjawab jika Tun dan kerajaan hanya menyerahkan nasib negara ini untuk dicorakkan oleh sekelompok kakistokrasi yang semakin mencemaskan.

“Kita tidak akan membiarkan rakyat Malaysia terus terpesona dengan ‘Tun Mahathir dan kenegarawanannya’. Untuk itu, UMNO mengajak rakyat Malaysia, bersungguh-sungguh kembali kepada realiti masa hadapan tanah air.


“Kita mesti ingat, membangunkan Malaysia, khususnya bangsa Melayu, tidak lagi boleh disandarkan kepada individu. Tetapi kepada kebingkasan rakyatnya. Malang bagi Malaysia, jika negara ini akhirnya terperangkap dengan kakistokrasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamed Khaled berkata, Dr Mahathir bukan sahaja tidak lagi mempunya ‘formula ajaib’ untuk Malaysia Baharu, sebaliknya era beliau sudah berakhir.


Beliau berkata, Malaysia Baharu terperangkap dengan keghairahan mendambakan pembaharuan, tetapi sangat tersepit dengan pemikiran, naratif dan pendekatan lama.


“Apa yang boleh kita rumuskan? Tun Mahathir tidak lagi mempunya ‘formula ajaib’ untuk Malaysia. Era beliau telah berakhir. Selama 9 bulan PH memerintah, tiada pemikiran serta kecerdasan baru yang kita boleh dengar untuk Malaysia. Ini bukan ‘a new Malaysia but a miserable Malaysia’.


“Kereta nasional, dasar pandang ke timur, pelaburan Jepun, persengketaan berterusan dengan Singapura, serangan ke atas ringgit oleh Amerika. Semuanya deja vu yang kembali bertalu-talu. Perkara dan dasar sama diulang-ulang,” katanya.

Justeru, Mohamed Khaled berkata, rakyat Malaysia, terutama bangsa Melayu mesti mencari pedoman baharu untuk negara yang telah berubah ini.


“Kita tidak lagi boleh bergantung kepada Tun Mahathir untuk mengemudi Malaysia. Kita berterima kasih kepada sumbangan beliau. Tetapi kita harus mengambil pandangan jauh. Harus pandang ke hadapan,” katanya.


The post Bukan Malaysia Baharu tapi ‘Malaysia Sengsara’: Khaled appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop