Expired : 18.06.18

Bukan masa 'berbulan madu'

JAGUH berbasikal negara, Azizulhasni Awang sudah sedia dengan sebarang kemungkinan berhubung penganjuran temasya Olimpik sama ada ditunda ataupun dilangsungkan mengikut jadual.


Justeru tiada masalah buat pemenang dua pingat gangsa Kejohanan Dunia di Berlin itu kerana dia sudah mempunyai ‘resipi rahsia’ yang dirangka bersama jurulatih negara, John Beasley berhubung tahap persediaan untuk menghadapi temasya berkenaan.


Namun secara peribadi, Azizul menyokong penuh penundaan temasya berkenaan ke tahun depan selepas menilai dari beberapa aspek iaitu kesihatan dan keselamatan.


“Sama ada ia ditangguhkan atau tidak, saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. Tapi jika ditanya pendapat saya memang wajar ia ditunda kerana keadaan wabak yang mengganas secara global ini memberikan impak besar kepada semua atlet yang sudah layak di mana mereka tidak dapat menjalani latihan seperti biasa kerana rata-rata negara berada di dalam perintah berkurung.


“Tapi saya bersyukur kerana semasa penularan wabak Covid-19 ini semakin mengganas dan viral di televisyen dan media sosial, saya ketika itu berada di Berlin untuk Kejohanan Dunia.


“Sehari selepas berangkat pulang ke tanah air dari Berlin, kes Covid-19 di Berlin terus meningkat secara mendadak. Nasib baik saya dan pasukan tidak terkena tempias wabak itu,” katanya.


Juara dunia 2017 itu berkata, dia melihat penangguhan temasya terbesar itu sebagai satu yang positif kerana memberi lebih banyak masa kepadanya dan atlet negara untuk membuat persiapan.


Begitupun tiada istilah rehat buat dirinya dan langsung tidak menganggap penangguhan Olimpik itu memberi peluang kepadanya untuk ‘berbulan madu’ biarpun dalam perintah berkurung kerana latihan tetap dijalankan.