Expired : 18.06.18

Bukankah LGBT sebahagian daripada Malaysia baharu?: Isma


Oleh Athirah Huda Zalhe


BANGI, 3 Rejab 1440H, Ahad – “Kalau hidangan sudah bercampur najis, bagaimana hendak asingkan sewaktu ingin makan?”


Itulah yang boleh digambarkan oleh Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa semalam.


Mujahid menerusi satu kenyataan berkata, kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) bertegas dengan pendirian tidak menerima amalan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.


Kenyataan beliau itu susulan perhimpunan yang diadakan bersempena Hari Wanita Sedunia berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuankua Abdul Rahman, Kuala Lumpur, semalam.


Melihat kenyataan Mujahid itu sebagai janggal, Abdullah Zaik berkata, menteri yang kononnya ditugaskan menjaga agama itu harus faham bahawa keterbukaan kumpulan LGBT datang bersama PH, dan sebahagian daripada ‘Malaysia Baru’.


“Apa kekuatan yang ada pada kenyataan Mujahid bahawa LGBT tidak diterima di negara ini? Kenyataan beliau tidak menjadikan ia tidak bersalah.


“Dia sepatutnya faham daripada awal bahawa istilah inklusif dan keterbukaan mengikut prinsip liberal adalah bolos daripada nilai dan agama, yakni mengiktiraf segala dosa serta maksiat,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.


Difahamkan, beberapa badan bukan kerajaan (NGO), termasuk Women’s Aid Organization (WAO), Sisters In Islam (SIS) serta penyokong LGBT telah menyertai perhimpunan itu.


Antara perkara dituntut kumpulan terbabit pada perhimpunan itu ialah menghapuskan diskriminasi jantina, menghentikan keganasan terhadap wanita dan kesaksamaan gender.


Lebih mengejutkan, apabila perhimpunan yang tidak mendapat kebenaran pihak polis itu juga secara terbuka melaungkan ‘Hidup LGBT’ sepanjang perarakan.


The post Bukankah LGBT sebahagian daripada Malaysia baharu?: Isma appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop