Expired : 18.06.18

Bumbung, siling rumah rosak ditiup angin kencang


GEORGE TOWN, 9 Zulhijjah 1440H, Sabtu – Dugaan buat dua keluarga di pangsapuri Mutiara Idaman 1 apabila terpaksa melupakan hasrat menyambut Hari Raya Aidiladha, selepas bumbung rumah mereka rosak akibat ditiup angin kencang malam tadi.


Yusliani Ali, 35, suri rumah berkata, beliau dan keluarganya memang merancang balik ke kampung halamannya di Selangor untuk menyambut Hari Raya Aidiladha pagi ini, tetapi kejadian malam tadi memaksa mereka melupakan hasrat itu.


Beliau berkata, angin kencang yang berlaku sejak 10 malam tadi mengakibatkan bumbung dan siling rumah roboh sehingga menyebabkan kebocoran ketika hujan.


“Kami bernasib baik ketika kejadian malam tadi, tiada orang di rumah. Kami memang sudah “packing” pakaian siap dengan juadah raya untuk bertolak balik kampung pagi ini, tetapi kini terpaksa beraya di sini untuk kerja-kerja pembersihan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.


Yusliani, yang duduk bersama suami dan dua orang anak berumur 16 dan 11 tahun berkata, kejadian malam tadi adalah kali ketiga berlaku di unitnya tingkat 20 pangsapuri berkenaan.


“Ini adalah kejadian terburuk pernah berlaku sejak kami pindah ke rumah ini pada tahun 2003 dan telah menyebabkan banyak perabot, peralatan elektrik dan hiasan rumah untuk Hari Raya Aidiladha rosak,” katanya.


Seorang lagi jiran sama tingkat, Mohd Fadzli Mazlan, 32, seorang pengawal keselamatan berkata, masa kejadian beliau sedang makan di ruang tamu kira-kira 10 malam, tiba-tiba siling rumahnya bergegar dan mula retak.


“Saya terus jerit kepada anak dan isteri untuk keluar dari rumah kerana bumbung rumah sudah nak roboh.


“Sejurus saja kami keluar dari rumah, bumbung termasuk siling sekali roboh menyebabkan rumah kami dimasuki air hujan,” katanya.


Beliau berkata, isterinya, Nurul Kamsiah Samat yang berniaga kecil-kecilan membuat kuih terpaksa membatalkan tempahan daripada pelanggan.


“Juadah kuih raya yang kami sediakan untuk pelanggan sempena Hari Raya Haji ini pun rosak. Kerugian yang dialaminya kira-kira RM10,000,” katanya. -Bernama


The post Bumbung, siling rumah rosak ditiup angin kencang appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop