Expired : 18.06.18

Bunuh di jalan raya: Suami isteri ditahan reman seminggu

SEPASANG suami isteri yang ditahan berhubung kes kematian seorang lelaki di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban semalam telah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan hari ini berkata, permohonan reman dibuat di Mahkamah Kajang dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan bunuh.


Siasatan awal katanya, mendapati kereta si mati telah melanggar bahagian belakang kereta suspek yang kemudiannya menyebabkan insiden “kejar mengejar dan cabar mencabar”.


“Mereka berdua berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi. Seterusnya berlaku pergaduhan antara suspek dan si mati. Beberapa pemandu lain turut berhenti dan telah mententeramkan kedua-dua mereka. Akhirnya masing-masing kembali ke kereta.


“Namun si mati yang tidak berpuas hati telah keluar dari kereta dengan membawa sebatang kayu baseball dan terus memukul bahagian depan kereta suspek. Suspek telah memandu kereta ke hadapan dalam keadaan tergesa-gesa dan terlanggar si mati.


“Mangsa telah tersepit di antara kereta suspek dan penghadang jalan. Dia dibawa ke Nilai Medical Centre dan telah meninggal dunia semasa dirawat,” katanya lagi.



Menurut laporan Bernama awal pagi tadi, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.40 tengah hari semalam di Kilometer 239 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, berhampiran susur Bandar Baru Bangi.


Menurut laporan itu lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat dengan menelefon 016-406 4202, atau hubungi balai polis berhampiran.


The post Bunuh di jalan raya: Suami isteri ditahan reman seminggu appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop