Expired : 18.06.18

Bunuh Khashoggi arahan tertinggi Arab Saudi, kata Turki


ISTANBUL, 25 Safar 1440H, Sabtu – Turki tidak menolak kemungkinan pembunuhan wartawan dan penulis terkenal, Jamal Khashoggi adalah arahan daripada ‘peringkat tertinggi’ kerajaan Arab Saudi.


Menulis di kolumnis akhbar The Washington Post semalam, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, pembunuhan Khashoggi ‘sukar dijelaskan’ dan meminta identiti ‘boneka’ di sebalik pembunuhan didedahkan segera.


Dalam artikel berkenaan, Erdogan berkata, pegawai Arab Saudi tidak memberi penjelasan penuh berhubung perkara yang berlaku di konsulat mereka di Istanbul pada 2 Oktober – hari Khashoggi – kolumnis Washington Post dan pengkritik dasar Arab Saudi – kali terakhir dilihat.


“Ini termasuk soalan-soalan lain, di mana badan Khashoggi terletak dan identiti ‘kolaborator tempatan’ yang dikatakan pegawai Arab Saudi ditugaskan untuk melupus mayat wartawan itu,” kata Erdogan.


Erdogan berkata, tidak terlintas di fikirannya Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud secara peribadi mengarahkan serangan ke atas Khashoggi.


Bagaimanapun, dalam artikelnya, Erdogan tidak menyebut putera Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang dianggap sebagai pemerintah de facto kerajaan.


Khashoggi yang juga kolumnis The Washington Post, mati dibunuh di dalam pejabat konsulat Arab Saudi di Istanbul, ketika beliau datang untuk urusan mendapatkan dokumen perceraian dengan isterinya.


Beliau adalah pengkritik utama kerajaan Riyadh, terutama pentadbiran Putera Mahkota Mohammed bin Salman, dan ‘melarikan diri’ ke AS tahun lalu berikutan operasi penangkapan di Arab Saudi.


Pembunuhan Khashoggi dikaitkan dengan Putera Makhota Mohammed, selepas lima daripada suspek adalah anggota pasukan perisikan di bawah beliau. Tiga daripadanya sering menjadi pengawal peribadi beliau ketika lawatan ke luar negara.


Putera Mahkota Mohammed bagaimanapun, menafikan mengetahui mengenai pembunuhan itu. – Agensi



The post Bunuh Khashoggi arahan tertinggi Arab Saudi, kata Turki appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop