Expired : 18.06.18

Butiran lanjut pengambilalihan lebuh raya diputus kemudian

KUALA LUMPUR, 12 Safar 1441H, Jumaat – Butiran terperinci membabitkan cadangan pengambilalihan lebuh raya akan diputuskan kemudian, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.


Menurut Perdana Menteri, setakat ini kerajaan telah mengenal pasti kawasan bandar dan luar bandar yang terbabit dalam usaha tersebut.


“(Semua) butiran terperinci mengenainya akan diputuskan kemudian,” kata beliau kepada media selepas menghadiri pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat di sini, hari ini.


Ketika membentangkan belanjawan itu, Guan Eng berkata, Kabinet akan menimbangkan semua cadangan termasuk daripada Khazanah Nasional Bhd untuk mengambil alih atau melupusan semua kepentingan PLUS Malaysia Bhd (PLUS).


Ditanya mengenai pengambilalihan empat lebuh raya daripada Gamuda Bhd, Dr Mahathir berkata, semua lebuh raya terbabit akan diswastakan.


Beliau turut menegaskan bahawa kadar diskaun tol yang akan dikenakan juga adalah lebih rendah iaitu sekurang-kurangnya 18 peratus secara purata.


“Ini belum dapat dipastikan lagi, namun kita telah menyatakan bahawa diskaun itu sekurang-kurangnya 18 peratus lebih rendah,” katanya ketika ditanya sama ada pengurangan itu akan dilaksanakan selepas pengambilalihan PLUS atau serta-merta pada 2020.


Dalam Belanjawan 2020 itu, Guan Eng berkata, kerajaan telah mencadangkan diskaun sebanyak 18 peratus secara purata di semua lebuh raya milik PLUS.


“Kadar diskaun itu bagi Lebuhraya Utara Selatan akan menjimatkan pengguna lebuh raya sehingga RM1.13 billon pada 2020 dan RM43 bilion sepanjang tempoh konsesi itu sehingga 2038,” kata Guan Eng dan menambah bahawa kerajaan akan meneruskan cadangan untuk mengambil alih empat lebuh raya milik Gamuda.


Menurutnya, pengambilalihan itu, yang mana pengumuman pertama dibuat oleh Kementerian Kewangan pada Jun, telah diluluskan oleh Kabinet.


Sementara itu pada sidang media kemudiannya, Guan Eng berkata, cadangan pelupusan kepentingan tol tidak akan menambah bebanan negara atau dari segi caj perkhidmatan hutang.


“Ini bermakna, kutipan daripada tol itu sahaja sudah memadai untuk membayar hutang yang ada. Itulah syaratnya,” tegasnya.


Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak menerima sebarang ‘kenyataan rasmi’ daripada India susulan laporan media mengenai hasrat New Delhi mengehadkan import produk sawit Malaysia dan produk lain.


“Itu cuma laporan tetapi kita belum menerima apa-apa kenyataan rasmi,” katanya.


Laporan media itu antara lainnya menyatakan bahawa India sedang menimbang untuk mengehadkan import produk-produk tertentu dari Malaysia termasuk minyak sawit sebagai reaksi terhadap kritikan Dr Mahathir terhadap New Delhi kerana tindakan negara itu Kashmir.


Selain itu, Dr Mahathir menyifatkan penarafan kredit Malaysia masih baik walaupun kerajaan telah memutuskan untuk menerbitkan bon Samurai baharu pada awal tahun depan.


“Jelaslah bahawa penarafan kredit kita amat baik kerana masih ada pihak yang sudi tampil menawarkan dana untuk kita pinjam. Namun, kita akan hanya menerima tawaran yang terbaik,” kata beliau.


Dalam pengumuman Belanjawan 2020 itu, Guan Eng berkata tawaran bon itu adalah pada kadar faedah lebih rendah atau kurang daripada 0.5 peratus berbanding 0.63 peratus, sebelum ini. – Bernama


The post Butiran lanjut pengambilalihan lebuh raya diputus kemudian appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop