Expired : 18.06.18

Cabaran Penjagaan Pesakit Kanser Warga Emas

Oleh: Aishah Mahat
Fakulti Sains Komputer dan Matematik
UiTM Pasir Gudang


 


Tugas dan tanggungjawab dalam menjaga warga emas bukan merupakan suatu perkara yang boleh dianggap mudah. Ia akan menjadi lebih sukar sekiranya warga emas tersebut mempunyai penyakit yang lebih kronik seperti kanser serta pelbagai rangkaian penyakit yang lain seperti darah tinggi, jantung dan kencing manis. Namun begitu, penjaga perlu memainkan peranan yang penting terutama dalam menghadapi situasi kecemasan sewaktu berhadapan dengan pesakit kronik di kalangan warga emas.


Definisi warga emas merujuk kepada individu yang berumur 60 tahun ke atas. melalui takrifan yang dibuat di “World Assembly On Ageing 1982” di Vienna. Manakala berdasarkan World Health Organization dalam sebuah artikel yang bertajuk Ageing and Health, tidak ada istilah yang dikhususkan untuk warga tua. Ini disebabkan kadangkala terdapat individu yang berusia 80 tahun namun memiliki tahap pemikiran seperti individu yang berumur 20 tahun. Faktor kemerosotan terhadap kesihatan fizikal dan mental yang membuatkan keadaan kesihatan individu tersebut semakin menurun. Untuk itu, sebagai penjaga perlu memastikan pesakit yang telah berusia dan mempunyai penyakit kronik seperti kanser sentiasa berada dalam keadaan yang selesa bergantung kepada situasi atau keadaan pesakit tersebut.


ARTIKEL BERKAITANPenemuan Baharu Rawatan Kanser oleh Saintis Wanita Muda Memenangi Anugerah Antarabangsa & Tempatan
ARTIKEL BERKAITAN – Tumor dan Kanser: Apakah Perbezaannya?
ARTIKEL BERKAITAN
–Simptom, Pengesanan dan Rawatan untuk Kanser Pankreas


Walau bagaimanapun terdapat pelbagai faktor yang dapat membantu dalam urusan penjagaan pesakit di kalangan warga emas terutama yang mengalami penyakit kanser. Antaranya adalah


  1. Pengurusan emosi

Emosi pesakit kurang stabil disebabkan faktor kesihatan yang merosot atau tidak menentu. Mereka kerap marah dan wujud perasaan tidak suka terhadap sesuatu perkara. Ini disebabkan pesakit kurang mendapat tidur yang sempurna, ketidakselesaan anggota badan dan kecelaruan fikiran, Justeru sebagai penjaga perlu bijak dalam menguruskan emosi pesakit agar keadaan lebih stabil dan tenteram. Penjaga perlu memiliki tahap kesabaran yang tinggi dalam mengendalikan situasi seperti ini. Ini sangat penting agar pesakit dapat merasai dirinya dihargai dan disayangi oleh orang di sekeliling. Sokongan moral terutama dari ahli keluarga yang terdekat dan sahabat handai juga sangat diperlukan bagi memberi semangat dan mewujudkan suasana harmoni dan ceria terhadap pesakit.


  1. Keupayaan fizikal

Golongan warga tua kebanyakan tidak mempunyai tenaga yang mencukupi lantaran penyakit yang dihadapi. Rawatan intensif seperti kemoterapi yang berulang menjadikan keadaan pesakit yang berusia tidak mampu untuk bergerak dalam keadaan normal bergantung kepada tahap kesihatan pesakit tersebut. Kadangkala akan wujud keadaan di mana pesakit tidak mampu untuk menguruskan keadaan dirinya sendiri. Justeru itu, penjaga perlu memberikan bantuan dan perhatian sepenuhnya kepada pesakit untuk bergerak serta menjalani kehidupan seharian.


  1. Informasi atau maklumat terhadap penyakit

Penjaga digalakkan mencari maklumat tentang penyakit yang dihadapi. Ilmu pengetahuan boleh didapati melalui pembacaan buku, artikel, jurnal kesihatan dan juga melalui pembabitan bersama Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia atau Majlis Kanser Nasional. Justeru itu, penjaga dan pesakit akan berusaha untuk memulihkan keadaan yang dihadapi oleh pesakit dengan kaedah yang betul dan cara lebih baik.


  1. Keadaan diri dan kesihatan penjaga

Penjaga merupakan antara orang yang berada di barisan hadapan sekiranya berlaku keadaan kecemasan terhadap pesakit yang telah berusia ini. Walaupun tugas penjaga tersebut amat berat dan kadangkala terbeban disebabkan mempunyai tugasan pekerjaan sendiri dan pada masa yang sama perlu menjaga keadaan pesakit, penjaga dinasihatkan supaya mencari waktu yang sesuai untuk merehatkan keadaan diri di samping perlu menjaga kesihatan diri. Bantuan dan sokongan dari majikan juga perlu diberi kepada pekerja yang mempunyai kes – kes seperti ini. Dengan penglibatan daripada semua pihak, keadaan akan menjadi lebih terkawal.


  1. Kaedah komunikasi yang berkesan

Rata – rata golongan berusia tidak selesa untuk bercerita keadaan penyakit yang dihadapinya walaupun mereka hanya mengalami sakit pening kepala. Walaupun gejala tersebut dianggap ringan, namun bukan untuk golongan berusia yang mempunyai penyakit kronik. Sekiranya simptom berlarutan, maka menjadi tanggungjawab penjaga untuk membawa pesakit ke klinik atau hospital dengan penggunaan komunikasi yang lebih berkesan dan efektif. Teknik komunikasi yang betul mampu menyelamatkan keadaan agar tidak menjadi lebih buruk kerana ia juga menyebabkan nyawa pesakit.


Foto kredit- cancerhealth center


Rujukan:


  1. http://www.myhealth.gov.my/stres-di-kalangan-penjaga-warga-emas/

  2. http://www.jkm.gov.my/jkm/index.php?r=portal/left&id=VEpUUXV3THFURkZETmxWNjZpQ1BXdz09

  3. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/ageing-and-health

  4. https://makna.org.my/