Expired : 18.06.18

Chin Peng: Satu memorandum akan dihantar kepada Agong

Oleh Fazleen Safina


BANGI, 5 Rabiulakhir 1441H, Isnin – Kelab Veteran Komando Malaysia akan menghantar memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong, untuk mengambil tindakan terhadap pelaku-pelaku yang terbabit membawa abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.


Presidennya, Sani Osman berkata, memorandum berkenaan akan dihantar dalam masa terdekat, sekiranya kenyataan dari pihak kerajaan tidak memuaskan atau tidak ada sebarang tindakan ke atas pengkhianat negara berkenaan.


“Kita nak minta penjelasan daripada pihak kerajaan, sama ada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertahanan atau Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


“Kita nak lihat ‘statement’ KDN atau Kementerian Pertahanan itu juga sama ada ia memuaskan hati atau sekadar untuk menutup apa yang berlaku.


“Sampai sekarang pun tiada tindakan dibuat. Nak tunggu apa lagi? Kerajaan kena ambil tindakan tegas. Jangan ada unsur politik, takut atau unsur yang lain dalam perkara ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.


Terdahulu, rakyat digemparkan dengan laporan berita bahawa abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa masuk ke negara ini dua bulan lalu, selepas enam tahun kematiannya.


Abu mayatnya dilaporkan tiba di Ipoh pada 16 September lalu dan ditaburkan di laut berhampiran Lumut, Perak serta sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.


Setakat ini, seramai tujuh individu telah memberi keterangan berhubung isu membawa pulang abu mayat Chin Peng ke negara ini, di Bukit Aman.


Selain itu, polis juga masih menyiasat dakwaan terdapat satu perjumpaan serta perhimpunan dipercayai membabitkan bekas ahli PKM yang diadakan di Kajang, semalam.


Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, tiada sebarang laporan telah diterima, namun pihaknya mengambil maklum akan perkara berkenaan.


Mengulas lanjut, Sani berkata, pihaknya akan tetap bertegas dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membawa ideologi komunis di negara ini.


“Ini adalah cubaan untuk menghidupkan kembali fahaman komunis dan golongan-golongan ini semakin berani.


“Selama 62 tahun negara mencapai kemerdekaan, tiada seorang pun berani nak membangkitkan kembali fahaman komunis,” katanya.


Justeru, Sani menggesa kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat supaya menjaga keamanan negara, dengan tidak memberi kenyataan bodoh yang juga tidak memuaskan hati semua pihak, terutamanya veteran-veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


“Jangan cabar kami. Kami tidak bangkitkan isu perkauman. Tolong jaga sensitiviti veteran-veteran ATM.


“Saya juga bukan bercakap isu politik, tetapi kami marah kerana perkara-perkara itu berlaku. Berwaspada dan beringatlah, jangan sampai perkara buruk berlaku dan bertindaklah seawal mungkin. Usah juga memilih bulu,” tegasnya.


The post Chin Peng: Satu memorandum akan dihantar kepada Agong appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop