v COVID-19 Hikmah atau Bala
Expired : 18.06.18

COVID-19 Hikmah atau Bala

COVID-19 Hikmah atau Bala

Pandemik Covid-19 yang menyerang seluruh dunia telah menyebabkan pelbagai sektor terjejas. Bukan sahaja sektor kesihatan, ekonomi malah melumpuhkan industri sukan. Sukan secara umumnya melibatkan kehadiran besar kumpulan orang bagi sesuatu acara. Pandemik Covid-19 pastinya tidak dapat dihentikan seandainya industri ini beroperasi seperti dijadualkan. Perit.. tapi ini hakikat yang harus ditelan oleh pengamal sukan, atlit, pengurusan dan pendukung industri sukan secara keseluruhan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjadi antara badan sukan terawal membatalkan kejohanan dibawah kelolaannya. Sudah tentu larangan pihak kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melarang keras sukan melibatkan sentuhan secara langsung dan penglibatan orang ramai apabila sesuatu acara diadakan menjadi antara faktor FAM bertindak sedemikian rupa.

Antara kejohanan yang sudah dibatalkan pada awal Jun yang lalu ialah Piala Belia, Piala Presiden, Malaysia Premier Futsal League (MPFL) dan terbaru turut sama mengikut jejak langkah ialah Liga M3. Pihak Gawang.my berkesempatan untuk mendapatkan pandangan beberapa pihak yang terkesan secara langsung apabila kejohanan-kejohanan ini dibatalkan dan bangga melihat kesepakatan mereka akur demi kebaikan semua pihak.

Bagi penjaga gol utama skuad Piala Presiden Kedah, Wan Mohamad Syazmin, dia menganggap ada hikmah yang diperoleh olehnya juga disebalik akur kepada pembatalan musim 2020. Baginya hikmah pembatalan itu memberikan dia lebih banyak masa untuk bersama keluarga tercinta memandangkan selama ini jarang sekali mempunyai peluang yang banyak sebegini diatas faktor kesibukan latihan dan jadual pertandingan. “Dan waktu sebeginilah boleh digunakan untuk perbetulkan yang mana terkurang selama ini” -ujarnya kepada wakil Gawang.my di Kedah.

Wan Syazmin yang juga merupakan anak legenda penjaga gol Kedah zaman 90an, Wan Nozaimi turut memaklumkan dia masih meneruskan latihan sendirian untuk mengekalkan kecergasan memandangkan 2021 masih ada untuknya dengan kejohanan Piala Presiden bakal bersambung semula. Ditambah pula dengan SUKMA tahun ini yang dibatalkan akan turut berlangsung pada tahun hadapan.

Dalam pada itu, bagi Penolong Jurulatih Futsal Kuala Lumpur, Mohd Arif Hamidi, sedikit rasa hampa memandangkan musim kedua MPFL dijangka lebih menarik dengan kehadiran pemain import dan jurulatih import. Begitupun dia turut menyatakan hakikatnya kita perlu tetap menerima dengan hati yang terbuka soal pembatalan kejohanan kerana Covid-19 ini lebih merbahaya.

“Kita utamakan yang lebih penting” -tambah Arif lagi atau lebih dikenali sebagai Wak dikalangan warga arena futsal tempatan.

Sementara itu,kelibat gadis diatas padang bola sepak tentunya sesuatu yang jarang berlaku apatah lagi bertugas sebagai fisioterapi tetapi nama Nursuliana Mohd Sufian atau lebih mesra disapa Yana bukanlah asing buat mereka yang benar-benar mengikuti rapat perkembangan bola sepak tempatan. Gadis ini turut mempunyai pendapat yang tersendiri ketika ditemubual oleh wakil Gawang.my Melaka.

“Pertama sekali tentunya sedih. Suasana dan kerjasama dalam pasukan dan persiapan yang telah kita lakukan untuk pasukan sebelum ni sudah cukup mantap dengan barisan pemain yang ada serta kesihatan fizikal mereka yang sudah cukup untuk harungi saingan 2020 ini. Tetapi kita terpaksa akur dengan Pendemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia dan pihak atasan sudah membuat keputusan yang amat berat sebenarnya tetapi ini ialah langkah pencegahan bagi menghalang wabak ini daripada ianya semakin menular dikalangan pemain memandangkan risiko untuk mereka berjangkit sesame mereka lebih mudah” -kata Yana yang kini bertugas sebagai fisioterapi pasukan KL Rovers yang bermain di Liga M3 dimana ketika kejohanan ini diumum dibatalkan, mereka sedang bergelar pendahulu liga.

Yana turut berkongsi perancangan masa hadapan seterusnya dikala liga dibatalkan dengan menyatakan dia akan membuka sendiri sesi rawatan kepada pesakit yang berkaitan fisioterapi mengikut garis panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa. Dia juga aktif mempromosikan perniagaan saudara dan rakan agar mereka mempunyai sumber pendapatan memandangkan situasi Covid ini berlaku secara tiba-tiba.

Yana juga berdoa agar Pendemik Covid-19 ini berakhir dengan izinNya dan dia bersama pasukannya akan kembali mengharungi saingan liga mereka pada tahun 2021.

Gawang.my melihat kesepakatan mereka akur kepada pembatalan ini senada dan sejajar dengan apa yang dinyatakan oleh pihak penganjur yang bimbang soal kesihatan memandangkan terdapat potensi penyebaran virus Covid-19 dalam kalangan pemain dan pegawai. Selain itu kesukaran dalam memenuhi garis panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa seperti perlawanan dipadang terbuka mempunyai kemungkinan berlakunya perhimpunan orang ramai dalam kalangan peminat.

Cuma dipihak Gawang.my berharap soal kebajikan terutamanya berkisar soal gaji pemain serta pegawai setiap pasukan kekal terpelihara. Gawang.my juga mengakui dalam situasi ini dana daripada pihak penaja dan kantung kewangan pasukan pastinya terjejas kerana hal ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi diseluruh dunia dan pasukan berkelas dunia juga mempunyai masalah gaji dikala Covid-19 melanda.

Nota kaki: Semoga Covid-19 cepat berakhir dan arena bola sepak kembali secepat mungkin.