Expired : 18.06.18

COVID-19: Melaka tangguh bayaran bil air

MELAKA, 2 Syaaban 1441H, Jumaat – Kerajaan negeri Melaka memberikan bantuan khas kit makanan dan penangguhan bil air bagi pengguna domestik yang terjejas ekoran penularan pandemik COVID-19, kata Ketua Menterinya, Datuk Sulaiman Md Ali.


Beliau berkata, dua inisiatif itu adalah tambahan kepada beberapa inisiatif yang telah diumumkan kerajaan negeri sebelum ini bagi mengurangkan beban rakyat negeri itu khususnya golongan sasar.


Katanya, sebanyak 1,000 kit makanan terdiri daripada beras, minyak masak, tepung, biskut kering, gula dan sardin akan diedarkan kepada penerima yang layak di 28 Dewan Undangan Negeri pada hujung minggu ini.


“Bantuan khas kit makanan COVID-19 ialah bantuan ‘one-off’ yang akan diuruskan Pejabat Tanah dan Daerah dan syarat permohonan ialah warganegara Malaysia, berpendapatan RM3,000 ke bawah dan bekerja sendiri atau gaji harian.


“Permohonan boleh di buat melalui atas talian atau secara terus di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri masing-masing,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.


Beliau berkata, penangguhan bayaran bil air bagi pengguna domestik adalah bagi bulan Mac dan ia dijangka akan memberi manfaat kepada 260,000 isi rumah di Melaka.


Sementara itu, katanya, orang ramai terutama syarikat korporat atau firma swasta di Melaka dipelawa memberi sumbangan kepada kerajaan negeri bagi membantu meringankan beban rakyat akibat wabak COVID-19.


Sulaiman berkata, sumbangan boleh disalurkan melalui cek atau Pemindahan Dana Elektronik (EFT) kepada Bendahari Negeri (Maybank Islamic: 554026000401) atau Pegawai Kewangan Negeri Melaka-Tabung Bencana Negeri (Maybank Islamic: 554110500466).


Beliau berkata, bagi sumbangan secara EFT, penyumbang diminta memastikan bayaran sumbangan yang di buat seperti berikut: COVID19/namapenyumbang/nombortelefon.


“Pihak Bendahari Negeri akan mengeluarkan resit rasmi atas sumbangan tersebut dan sumbangan itu layak mendapat potongan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.


Beliau berkata notifikasi sumbangan juga boleh diemelkan kepada sumb_covid19@melaka.gov.my bagi tujuan pengeluaran resit rasmi. – Bernama


The post COVID-19: Melaka tangguh bayaran bil air appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.