Expired : 18.06.18

Covid-19: Penaja mula gulung tikar

DENGAN stadium bergelap, jersi pemain tersimpan kemas di almari dan hampir kebanyakan pemain berkurung di rumah, penaja bola sepak dilihat sudah tidak tentu arah dan berputus asa.


Kelab Eropah dilihat bergelut untuk menawarkan keuntungan kepada rakan penaja mereka yang sudah membuat pelaburan besar susulan pandemik Covid-19 ketika ini.


“Kami cuba untuk melakukan aktiviti bersama pemain dan penaja yang mana ia lebih sukar selepas perintah berkurung,” kata salah satu pengurus pemasaran kelab.


Barisan pemain bintang yang menjadi daya tarikan utama penaja untuk menarik orang ramai, ketika ini hampir kebanyakannya di rumah atau kembali ke tempat asal masing-masing.


Lebih memburukkan, tiada sebarang perlawanan berlangsung. Perlawanan di kaca televisyen menguntungkan penaja kerana ia memaparkan produk penaja di jersi pemain kepada berjuta penonton di seluruh dunia.


Di West Ham, salah satu penaja iaitu syarikat kewangan berisiko tinggi, Basset & Gold yang mana kelab menegaskan ia tidak ada kaitan dengan pemilik kelab itu, David Gold, sudah bankrap akibat pandemik Covid-19.


Banyak penaja terutama seperti di sektor penerbangan, hotel dan restoran, amat terjejas teruk. Malah sudah ada penaja membatalkan penajaan mereka.


“Tindakan itu adalah perkara biasa apabila tiada perlawanan dan segala-galanya ditangguhkan,” kata Marc Vanhove, pemilik restoran Bistro Regent yang menaja jersi Bordeaux.