Expired : 18.06.18

COVID-19: Presiden UMNO Saran Kerjasama Awam Dan Swasta Di Saat Genting



KUALA LUMPUR, 25 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar dalam dalam keadaan kritikal berdepan suasana wabak COVID-19, semua pihak patut memainkan peranan untuk membantu tanpa mengira soal wang atau kos.


Katanya, di Malaysia banyak hospital swasta yang mempunyai kemudahan canggih dan khidmat doktor pakar.


“Pihak hospital swasta disarankan memainkan peranan dalam tempoh gawat dan kecemasan ini untuk turut serta dalam membantu negara dan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Pada masa yang sama, terang beliau, tahap kemampuan di 26 hospital kerajaan dan satu hospital universiti amat terhad iaitu dengan jumlah katil yang terhad sebanyak 3,400 dan 300 katil ICU dan ditambah pula dengan kekurangan kakitangan yang terpaksa bekerja lebih masa serta mengalami keletihan melampau.


“Negara memerlukan fasiliti tambahan untuk khidmat perubatan terutamanya saringan dan rawatan, ambulans, doktor dan kakitangan.


“Amat tidak molek jika semua hospital awam penuh sesak sampai tidak mampu menangani pemeriksaan, namun bangunan hospital swasta lengang dan tidak membantu negara.”


Tegasnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), zaman krisis ini bukan masa untuk mengutip untung.


“Pekerja dan rakyat berkorban, tiada pendapatan maka bukan waktu yang sesuai untuk hospital swasta memikirkan atau menghitung soal untung rugi. Mereka harus menghulurkan segera khidmat untuk negara ini.


“Hospital swasta dicadangkan sekurang-kurangnya untuk membuat saringan COVID-19 secara percuma atau kos paling minimum kepada mana-mana rakyat yang memerlukan.


“Hospital swasta yang mempunyai fasiliti mencukupi juga boleh menjalankan saringan dari rumah ke rumah di kawasan zon merah wabak COVID-19,”


Jelas beliau, perkara ini dilakukan di Korea Selatan iaitu mereka menjalankan antara 12,000 hingga 20,000 ujian pengesanan COVID-19 termasuk menggunakan pendekatan pandu lalu dan mereka melawan COVID-19 dengan teknologi Big

Data dan kecerdasan buatan (AI).


“Sekarang masanya semua pihak menggembleng tenaga membantu negara. Negara memerlukan sumbangan kita semua dalam apa cara sekalipun,” gesanya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO Online