Expired : 18.06.18

Croatia terkedu di Baku

CROATIA terlepas peluang mengukuhkan kedudukan di puncak Kumpulan E selepas hanya mampu seri 1-1 menentang Azerbaijan di Baku, awal pagi tadi.


Naib juara Piala Dunia 2018 itu mendahului menerusi penalti Luka Modric pada minit ke-11 sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan hasil jaringan menarik Tamkin Khalilzada pada minit ke-72 untuk meraih mata pertama mereka.


Croatia selaku pendahulu kumpulan mengatasi pasukan di tangga ketiga, Wales dan Slovakia di tangga keempat dengan empat mata dengan kedua-duanya beraksi kurang satu perlawanan.


Hungary yang menduduki tangga kedua, satu mata di belakang Croatia turut mempunyai kelebihan satu perlawanan dengan kedua-duanya akan berentap di Croatia pada 10 Oktober.


"Ia bukanlah perlawanan yang bagus kepada kami terutamanya pada babak kedua apabila kami gagal memanfaatkan peluang,” kata jurulatih, Zlatko Dalic.


"Kami gagal mendapatkan gol kedua dan sekarang kami perlu memandang ke hadapan.”


Azerbaijan yang dikendalikan jurulatih Croatia, Croatian Nikola Jurcevic kekal tercorot.


Dalic menyenaraikan skuad yang lebih kuat menentang pasukan di ranking ke-109 dunia termasuk pemain tengah Real Madrid, Modric, pemain sayap Bayern Munich, Ivan Perisic dan pertahanan tengah Liverpool, Dejan Lovren.


Walaupun menghasilkan 21 percubaan, Croatia gagal menembusi gawang lawan selepas jaringan penalti Modric pada hari kelahirannya ke-31.


Mereka menewaskan Slovakia 4-0 Jumaat lalu dan Azerbaijan tewas tipis 1-2 kepada Wales menerusi jaringan lewat Gareth Bale.


Norlida Ishak Shop