Expired : 18.06.18

CURA Ialah Hospital Untuk Pesakit Covid-19 Yang Diperbuat Daripada Kontena

Dua bulan lalu dunia dikejutkan dengan kemampuan China membina sebuah hospital dalam masa hanya dua minggu.  Hospital Huoshenshan di Wuhan China mampu menempatkan 1000 katil. Tetapi tidak semua negara di dunia mempunyai kemampuan membina dengan pantas seperti China dan alternatif yang tidak kurang pantas diperlukan,


Di Itali ,situasi Covid-19 semakin runcing dengan jumlah kematian di negara ini melangkaui China. Unit rawatan rapi hospital pula telah dipenuhi pesakit kritikal. Antara jalan penyelesaian yang dicadangkan ialah membina unit rawatan rapi segera menggunakan kontena. Konsep Connected Units for Respiratory Ailment (CURA) ini adalah hasil kerjasama Carlo Ratti Associati, Italo Rota, Studio FM Milano, Humanitas Research Hospital, Jacobs dan Squint/opera.


Setiap kontena boleh menempatkan dua orang pesakit. Dengan rekaan modular, sebuah unit rawatan rapi yang sentiasa berkembang dapat dibina dengan pantas. Pembinaan boleh dilakukan di tempat letak kereta, padang, dataran awam dan juga kapal kargo yang diubahsuai.


Kontena dengan mudah boleh didapati di seluruh dunia dan oleh sebab itu rekaan CURA akan diberikan secara sumber terbuka kepada negara yang memerlukan. Buat masa ini CURA masih lagi sebuah konsep tetapi dengan jumlah pesakit yang semakin meningkat tidak mustahil ia menjadi realiti dalam masa terdekat.