Expired : 18.06.18

Cutenya 'Tuanku', 'Permaisuri'... [METROTV]

PENAMPILAN pasangan sepupu ini memperagakan pakaian seakan-akan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mencuit hati netizen yang melihat keletah mereka.


Kedua-duanya, Syahibudil Ansyaufi Azman dan Nur Varisha Aisy Mohd Ali Azmi, masing-masing berusia tujuh tahun, yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sedenak, Kulai, Johor itu pada mulanya pelik apabila rakan sekolah dan guru memanggil mereka ‘Tuanku’ dan ‘Permaisuri’.


Aksi kedua-duanya memperagakan pakaian itu dan beriringan masuk di ‘balairong’ Muzium Diraja menjadi tular di Twitter sehingga menarik perhatian Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang membalas ciapan “Masya-Allah, cutenya, bersemut telefon baru saya.”


Ibu kepada Syahibudil, Shadathul Naien Abu Bakar, 43, mengakui terlalu meminati pasangan Diraja itu sekali gus memberi inspirasi kepadanya untuk memperagakan pakaian sama buat anak dan anak saudaranya.


Menceritakan lebih lanjut, Shadathul Naien berkata, kedua-duanya memasuki pertandingan pakaian seragam untuk kemerdekaan dengan tema tradisional di SK Sedenak pada 17 September lalu.


“Jadi saya terfikir dan mengambil inspirasi daripada pakaian Tuanku dan Permaisuri sebelum menempahnya dengan tukang jahit.


“Walaupun anak dan anak saudara masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga dalam pertandingan ini, namun sejak daripada itu mereka dipanggil Tuanku dan Permaisuri di sekolah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.


AKSI mencuit hati Syahibudil Ansyaufi serta Nur Varisha Aisy meniru gaya Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agung. FOTO Ihsan Shadathul Naien



Shadathul Naien berkata, anak lelakinya itu pelik kenapa rakan dan guru di sekolah memanggilnya Tuanku manakala sepupunya Permaisuri.


“Anak bongsu saya hairan dan bertanya kepada saya kenapa panggil Tuanku dan Permaisuri. Saya terangkan itu gelaran untuk Raja kita, namun dia tanya lagi apa itu Raja.


“Saya kemudian terangkan lagi mereka Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, lagilah mereka tidak faham sampai saya tunjuk gambar.


“Anak seakan-akan terkejut apabila melihat baju yang dipakainya sama dengan dalam gambar dan disebabkan itu saya nekad membawanya dan anak saudara ke Muzium Diraja semalam (kelmarin) supaya mereka mengenali Tuanku dan Permaisuri,” katanya.


Menurutnya, dia sanggup datang dari Johor ke Kuala Lumpur demi memenuhi keinginan anak untuk melihat pemimpin tertinggi negara itu.


“Syahibudil bertanya saya di mana rumah Tuanku dan Permaisuri, namun saya belum sempat membawa mereka melihat istana, mungkin satu hari nanti,” katanya.


Menurut Shadathul Naien, dia sengaja memakaikan mereka ‘pakaian diraja’ itu ketika berada di Muzium Diraja untuk bergambar kenangan.


“Bagaimanapun, saya tidak sangka pula menjadi tular hingga mendapat respons daripada Permaisuri,” katanya.


SYAHIBUDIL Ansyaufi serta Nur Varisha Aisy memperagakan pakaian seakan-akan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agung. FOTO Ihsan Shadathul Naien



Norlida Ishak Shop