Expired : 18.06.18

Dahsyatnya tipu daya Dajjal menyesatkan manusia


1. PERINGATAN tentang Dajjal sebenarnya bukanlah hanya disampaikan oleh Rasulullah ﷺ , bahkan para nabi terdahulu seawal Nabi Nuh A.S telah memberi peringatkan kepada kaumnya.


إنِّي لَأُنْذِرُكُمُوهُ، وما مِن نَبِيٍّ إلَّا أَنْذَرَهُ قَوْمَهُ، لقَدْ أَنْذَرَ نُوحٌ قَوْمَهُ


“Sungguh aku benar-benar telah memperingatkan kamu darinya (Dajjal). Tiada seorang nabi pun kecuali dia pasti memperingatkan kaumnya. Sungguh Nuh A.S telah memperingatkan kaumnya…” (HR al-Bukhari)


2. Rasulullah ﷺ juga bersabda bahawa Dajjal adalah fitnah paling besar:


ما بين خلقِ آدمَ إلى قيامِ الساعةِ خلقٌ أكبرُ من الدجالِ


Di antara penciptaan Adam A.S ketika terjadinya hari Kiamat, tiada fitnah yang lebih besar daripada Dajjal.” (HR Muslim)


3. Bagaimanakah tipu daya Dajjal akan berlaku? Mari kita lihat hadis-hadis Rasulullah ﷺ ini:


3.1. Dajjal dilihat seperti orang beriman dan melakukan syubhat.


من سمع بًالدجال فلينأ عنه ، فوالله إن الرجل ليأتيه وهو يحسب أنه مؤمن فيتبعه مما يبعث به من الشبهات ، أو لما يبعث به من الشبهات


“Sesiapa yang mendengar tentang Dajjal maka hendaklah dia menjauh darinya, kerana demi Allah SWT, sesungguhnya akan ada seseorang lelaki yang mendatanginya dan menyangka Dajjal itu seorang yang beriman, lalu dia mengikutinya kerana hebatnya syubhat yang dia bangkitkan, atau kerana syubhat yang dia tebarkan.” (HR Abu Daud)


3.2. Dajjal memberi ‘kesembuhan’ dan ‘menghidupkan’ lalu manusia menyembahnya.


إنّذَ الدجالَ خارجٌ وهوَ أعورُ عينِ الشمالِ علَيها ظَفْرَةٌ غَليظَةٌ وإِنَّهُ يُبْرِئُ الْأَكْمَهَ والْأَبْرَصَ ويُحْيِيِ الموْتَى ويقولُ للناسِ أنا رَبُّكُمْ فَمَنْ قَالَ أَنْتَ رَبِّي فقدِ فُتِنَ ومَنْ قَالَ رَبِيَ اللهُ حتَّى يَمُوتَ عَلَى ذَلِكَ فقدْ عُصِمَ مِنْ فِتْنَةِ الدَّجَالِ ولَا فِتْنَةَ عَلَيْهِ


“Dajjal pasti keluar. Dia itu buta sebelah. Mata yang kiri ada kulit semacam selaput yang tebal. Dia mampu menyembuhkan orang buta dan yang terkena kusta. Dia dapat menghidupkan orang yang mati. Dia berkata kepada orang ramai, “Akulah rabb kalian”. Maka barangsiapa yang berkata, “Engkaulah rabb-ku”, sungguh dia telah terfitnah. Siapa saja berkata, “Rabb-ku adalah Allah SWT”, sampai dia mati, maka dia telah terlindung dari fitnahnya, dan tiada fitnah lagi yang menimpanya sesudah itu.” (HR Ahmad)


3.3. Dajjal memberikan ‘kenikmatan’ lalu manusia menyembahnya.


…فيأتي على القومِ فيدعوهم، فيؤمنون به ويستجيبون له. فيأمر السماءَ فتمطر. والأرضُ فتنبتُ. فتروح عليهم سارحتُهم، أطولُ ما كانت ذرًّا، وأسبغُه ضروعًا، وأمدُّه خواصرَ…


“…Kemudian Dajjal datang kepada suatu kaum kemudian menyeru mereka. Lalu mereka beriman kepadanya dan memenuhi ajakannya. Dajjal memerintahkan langit menurunkan hujannya dan juga menyuruh bumi supaya menumbuhkan tanamannya, maka binatang peliharaan mereka pun meragut tanaman, paling melimpah air susunya, paling penuh ambing susunya, paling lebar perutnya…” (HR Muslim)


3.4. Dajjal memperlihatkan realiti palsu.


إنَّ مع الدجالِ إذا خرج ماءً ونارًا، فأما الذي يرى الناسُ أنها النارُ فماءٌ باردٌ، وأما الذي يرى الناسُ أنه ماءٌ باردٌ فنارٌ تحرقُ، فمن أدرك منكم فليقعْ في الذي يرى أنها نارٌ، فإنه عذبٌ باردٌ


“Sesungguhnya ketika Dajjal muncul, dia membawa air dan api. Sesuatu yang dilihat manusia bagai api itu sebenarnya air yang dingin. Adapun sesuatu yang dilihat manusia bagai air yang dingin itu sebenarnya api yang membakar. Barangsiapa daripada kalian yang mengalami kejadian itu, hendaklah dia menjatuhkan dirinya kepada apa yang dia lihat bagai api, kerana itu sebenarnya segar dan dingin.” (HR al-Bukhari)


3.5. Fitnah Dajjal berlangsung 429 hari.


…قلنا: يا رسولَ اللهِ! وما لُبثُه في الأرضِ؟ قال ” أربعون يومًا. يومٌ كسنةٍ. ويومٌ كشهرٍ. ويومٌ كجمعةٍ. وسائرُ أيامِه كأيامِكم…


“…Kami bertanya: Wahai Rasulullah ﷺ , berapa lama Dajjal tinggal di bumi?” Baginda ﷺ menjawab: “40 hari, sehari bagaikan setahun, sehari bagaikan sebulan, sehari bagaikan seminggu, dan baki hari lainnya sebagaimana hari-hari biasa kalian.” (HR Muslim)


4. Terdapat banyak lagi tipu daya Dajjal yang disebut dalam hadis, namun cukuplah kita ambil pengajaran dahulu daripada lima ini.


Persoalannya, mampukah kita terselamat kita daripada tipu daya Dajjal ini jika dengan tipu daya, fitnah dan propaganda media pun sudah ada antara kita yang tewas?


5. Perbanyakkanlah berdoa seperti yang diajar Rasulullah ﷺ :


اللهم إني أعوذُ بك من عذابِ القبرِ، ومن عذابِ النارِ، ومن فتنةِ المحيا والمماتِ، ومن فتنةِ المسيحِ الدجالِ


“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu dari seksa kubur, dan dari azab neraka, dan dari fitnah kehidupan dan kematian, dan dari dari fitnah Dajjal.” (HR al-Bukhari)


Ustaz Ahmad Nu’man Mazlan


Peringatan: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tiada kaitan dengan Media Isma Sdn Bhd atau Ismaweb.net.


The post Dahsyatnya tipu daya Dajjal menyesatkan manusia appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop