Expired : 18.06.18

Dalam sukar, nyanyian budak cerebral palsy menyusup ke hati (VIDEO)

Paparan skrin video menunjukkan sebahagian kanak-kanak cerebral palsy berdikir barat, 8 Oktober 2018. — Foto ihsan Facebook/Cerebral Palsy Malaysia-GAPS Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum
Paparan skrin video menunjukkan sebahagian kanak-kanak cerebral palsy berdikir barat, 8 Oktober 2018. — Foto ihsan Facebook/Cerebral Palsy Malaysia-GAPS Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum

PETALING JAYA, 8 Okt — Nyanyian kanak-kanak yang menghidapi cerebral palsy (CP) benar-benar menyusup ke hati sesiapa jua yang mendengarkannya.

Dikenali sebagai Aqim, beliau yang menang persembahan terbaik keseluruhan pertandingan CP Got Talent sempena sambutan hari CP sedunia semalam menyanyikan lagu "Pelangi Petang" dendangan Allahyarham Sudirman Arshad.


"Sedaya upaya adik Aqim menyampaikan lagu Pelangi Petang. Nak menyebut setiap patah perkataan pun beliau perlukan tenaga yang sangat banyak sehingga seluruh badannya bergerak..."kata pentadbir Facebook Cerebral Palsy Malaysia-GAPS Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum.


Program yang berlangsung di Tamarind Square, Cyberjaya dekat sini dirasmikan Datin Seri Azlin Hezri, isteri kepada menteri kesihatan.


Turut menarik perhatian adalah persembahan Zuhayr, kanak-kanak yang tidak mampu bercakap dengan lancar dan beliau saban kali keluar masuk wad kerana pelbagai masalah kesihatan. Kanak-kanak itu mendendangkan lagu "Semerah Padi."


"Inilah anak CP yang dulunya diuji dengan pelbagai cabaran hidup sejak dari dilahirkan. Inilah anak CP yang dikatakan oleh bekas gurunya sebagai anak yang gagap dan akan mengganggu rakan sekelasnya serta markah UPSR," kata pentadbir Facebook itu.


Selain Aqim dan Zuhayr, seramai 11 kanak-kanak termasuk sembilan yang mengalami CP quadriplegia dan mereka yang ada masalah pertuturan membuat persembahan dikir barat


"Empat daripada mereka langsung tidak mampu menyebut walau sepatah perkataan. Adakah mereka tidak layak untuk membuat persembahan?" kata pentadbir Facebook GAPS.


"Pedulilah pada tempo, pedulilah pada sebutan.Tanpa sebarang suara mereka masih mampu tersenyum..Dengan senyuman sudah membawa seribu nikmat dan kepuasan."


Norlida Ishak Shop