Expired : 18.06.18

Dalglish puji barisan hadapan

LEGENDA Liverpool, Kenny Dalglish sudah keluar daripada hospital semalam selepas didapati positif Covid-19 dan memuji kakitangan perubatan yang pada anggapannya sangat cemerlang menjalankan tugas.


Dalglish didapati positif virus itu selepas dimasukkan ke hospital pada Rabu lalu untuk satu lagi rawatan jangkitan berbeza yang memerlukan pemerhatian rapi.


“Kakitangan hospital sangat cemerlang. Sebagai sebuah negara, kita bernasib baik kerana mempunyai mereka dan saya berharap mereka semua sentiasa sihat selepas keletihan membantu negara ketika situasi pademik Covid-19 kini.


“Orang mungkin menganggap reputasi saya membolehkan saya mendapat rawatan terbaik tetapi setiap pesakit di Pusat Kesihatan Nasional (NHS) juga mendapat rawatan terbaik,” katanya.


Jumaat lalu, keluarga Dalglish berkata legenda berusia 69 tahun itu didapati positif Covid-19 di sebalik tidak mengalami sebarang simptom wabak itu.


Terdahulu, anak lelaki Dalglish mengucapkan terima kasih kepada peminat bola sepak di seluruh dunia yang menyampaikan sokongan kepada bapanya.


Paul Dalglish yang juga bekas pemain menerusi twitter miliknya berkata: “Saya tidak berhak untuk memberi komen berhubung orang tua saya. Dia akan melakukannya sendiri pada masa yang sesuai.


“Mesej yang benar-benar jujur daripada penyokong dan pasukan. Saya pasti kita semua bersetuju bahawa apa yang dialami kini lebih penting berbanding bola sepak dan kita semua harus bersatu menyokong NHS.”


Anak perempuan Dalglish yang juga pengacara Sky Sports, Kelly Cates turut menyampaikan mesej terima kasih kepada penyokong.


“Terima kasih atas mesej anda dan saya minta maaf kerana tidak dapat membalas kesemuanya,” katanya di twitter.