Expired : 18.06.18

Dana RM90 juta: Cubaan PH lemahkan kerjasama UMNO-PAS


KUALA LUMPUR, 5 Jamadilakhir 1440H, Ahad – Dakwaan PAS menerima dana RM90 juta daripada UMNO, hanyalah cubaan Pakatan Harapan (PH) untuk melemahkan kerjasama kedua-dua parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, 2 Mac depan.


Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, mungkin kerana melihat kejayaan gabungan UMNO dan PAS di PRK Cameron Highlands baru-baru ini, maka fitnah demi fitnah ditabur demi merosakkan kesatuan yang dibina.


“Tuduhan RM90 juta sengaja dihangatkan seolah-olah ia lebih penting daripada mencari keadilan untuk kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohamad Kasim.


“Jangan gentar serangan mereka. Kita teruskan perjuangan hingga PH tumbang,” katanya di laman sosial Twitter.


Kontroversi PAS menerima wang daripada UMNO timbul semula apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1 Februari lalu, membuat keputusan memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dengan menarik balik tuntutan terhadap Editor Sarawak Report (SR), Clare Rewcastle Brown.


Keputusan itu dicapai menerusi Perintah Persetujuan di Mahkamah Tinggi London selepas Abdul Hadi meneliti semua aspek keseluruhan tindakan mahkamah yang difailkan terhadap Rewcastle Brown selaku defendan dan mempertimbangkan pandangan serta nasihat peguam.


Rewcastle Brown turut menarik balik tuntutan balas terhadap Abdul Hadi dan kedua-dua pihak bersetuju tiada perintah berkenaan kos. Kedua-dua pihak juga tertakluk pada persetujuan kerahsiaan mengenai terma berkaitan penyelesaian berkenaan.


Editor SR sebelum ini mendakwa pimpinan tertinggi PAS mungkin menerima RM90 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendorong kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).


Pada masa sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disahkan akan membantu siasatan berhubung dakwaan sama – RM90 juta – dimasukkan ke dalam akaun pemimpin PAS.


Kelmarin, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Aziz tampil ke Ibu Pejabat SPRM Kelantan untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan.


Selain itu, bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa turut berbuat demikian di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.


The post Dana RM90 juta: Cubaan PH lemahkan kerjasama UMNO-PAS appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop