Expired : 18.06.18

Dana sekolah agama: Satu kepedulian melegakan

BANGI, 9 Syaaban 1441H, Jumaat – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan susulan memperuntukkan dana bantuan sekali bayar bernilai RM21 juta kepada pusat tahfiz swasta, sekolah pondok dan sekolah agama rakyat serta swasta yang berdaftar dengan pihak berwajib, termasuk tenaga pengajarnya.


Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan yakin, pengumuman peruntukan itu melegakan warga pendidik di institusi tersebut serta merangsang mereka untuk terus menjalankan proses pengajaran yang bersesuaian di musim cuti dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


“Ia merupakan satu peruntukan yang besar sebagai satu rasa kepedulian untuk memartabatkan institusi pendidikan agama di dalam negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Bantuan dana terbabit diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, semalam.


Melalui dana itu, tenaga pengajar di institut pendidikan Islam terbabit akan menerima bantuan sara hidup RM800 seorang yang akan memberi manfaat kepada 22,920 guru.


Dr Zulkifli berkata, bantuan pengurusan operasi bertujuan membiayai kos pengurusan, utiliti, sewaan dan perbelanjaan operasi lain pada kiraan RM10 per murid pula diberikan kepada 2,119 institusi pendidikan terbabit di seluruh negara.


“Bantuan itu daripada peruntukan RM100 juta yang disediakan kepada JAKIM di bawah Belanjawan 2020 bertujuan membiayai penyelenggaraan dan naik taraf institusi tahfiz, pondok dan sekolah agama berdaftar.


“Penghargaan ditujukan kepada Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, atas kelulusan bagi peruntukan berkenaan untuk tujuan itu,” katanya.


Ustaz Mohd Azizee berharap, sumbangan kepada warga pendidik sebanyak RM800 berbentuk ‘one-off’ dapat meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.


“i-Guru melalui Sekretariat Pendidikan Islam Malaysia akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan, terutama JAKIM, bagi memastikan peruntukan ini sampai kepada pihak berkaitan,” katanya.


The post Dana sekolah agama: Satu kepedulian melegakan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.