Expired : 18.06.18

DAP kuasai Kabinet PH


BANGI, 14 Zulhijjah 1440H, Khamis – Keputusan Kabinet bahawa pelaksanaan tulisan khat di sekolah vernakular tertakluk kepada persetujuan PIBG, telah menunjukkan siapa sebenarnya menguasai Pakatan Harapan, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.


Naib Presiden UMNO berkata, DAP ternyata penguasa sebenar Kerajaan PH, yang mana Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad hanya ‘rubber stamp’ kepada sutradara Dong Jiao Zong yang dilakon layarkan oleh DAP.


Katanya, mustahil bagi PIBG di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) membenarkan pengajaran Jawi dilaksanakan.


“Keputusan Kabinet itu bukan satu konsensus, kerana konsensus tidak akan menyebabkan terhapusnya Jawi dalam sistem persekolahan vernakular.


“Konsensus juga tidak akan mematikan semangat di Jawi dan pengajarannya, iaitu kemajmukan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.


Terdahulu, Kabinet mengekalkan keputusan pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah Tahun 4 di SJK mulai 2020 diteruskan, namun ia perlu mendapat persetujuan PIBG serta ibu bapa.


Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, Kabinet membuat keputusan itu selepas membincangkan isu itu sekali lagi semalam.


Mengulas lanjut, Khaled berkata, pengaruh DAP terhadap Kabinet PH sangat kuat sehinggakan mampu menewaskan Negarawan hebat seperti Dr Mahathir.


Beliau hairan terhadap pemimpin-pemimpin Melayu PH yang selama ini menjadi harapan kaum Melayu serta lantang bersuara, menjadi berat mulut apabila timbul isu ini.


“Orang Melayu tidak akan melupakan pengkhianatan luar biasa ini. Mana perginya sang Anwar Ibrahim yang selama ini selalu dianggap sebagai pejuang bahasa Melayu?


“Mana suara Mohammad Sabu, Salahuddin Ayub dan rakan-rakan dalam Kabinet yang dulu pernah berarak di jalanan menentang pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris?


“Mana perginya perjuangan Syed Saddiq dan rakan PPBM nya dalam mempertahan, memperjuang dan memperkasakan Bahasa Melayu demi kepentingan nasional,” katanya


Justeru, beliau mengingatkan pemimpin-pemimpin Melayu PH yang menjadi pak turut DAP bahawa mereka akan menyesal pada masa akan datang.


“Tragedi semalam akan menjadi lonjakan kepada kami (UMNO) untuk mengembalikan pengaruh, kuasa dan kepentingan Melayu dalam nadi dan nafas tanah air ini, insyaAllah.


“Dan akan kami lakukan tanpa meluka dan menafikan hak serta kepentingan bangsa lain pastinya,” katanya.


The post DAP kuasai Kabinet PH appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop