v Darul Makmur terima sijil sanitasi KKM
Expired : 18.06.18

Darul Makmur terima sijil sanitasi KKM

STADIUM Darul Makmur yang menjadi gelanggang utama skuad Pahang bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) menerima sijil perakuan proses sanitasi yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Penolong Jurutera Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM) Mohd Shahril Muhd Sarip berkata, sijil perakuan KKM diterima awal bulan ini selepas semua syarat yang ditetapkan berjaya dilaksanakan pihaknya.

Menurutnya, syarat utama ditetapkan ialah perlu melalui proses sanitasi oleh pihak profesional dalam bidang berkenaan dan proses berkenaan dipantau sepenuhnya oleh pegawai KKM.

"Proses sanitasi atau nyahkuman yang menggunakan campuran pembasmi kuman khas dilakukan pada 30 Jun lalu membabitkan pelbagai peralatan latihan di padang termasuk bola, kerusi, meja dan tempat menjual tiket.

"Semburan bahan kimia berbentuk asap itu turut membabitkan 15 bilik dan dewan termasuk sepanjang laluan keluar dan masuk pemain serta pegawai dalam bangunan stadium," katanya.

Menurutnya, proses sanitasi yang dilakukan antara langkah pencegahan wabak Covid-19 dilakukan PSDM sebelum saingan Liga M bermula bulan depan selepas ditangguhkan sebelum ini.

Mohd Shahril menambah, proses sanitasi tidak dilakukan di tempat duduk penonton kerana kawasan terbabit dikategorikan terbuka dan dianggap selamat berikutan terdedah pada cuaca panas matahari serta hujan.

Katanya, apa yang diharapkan apabila saingan Liga M bermula nanti tidak berlaku sebarang kes Covid-19 berpunca daripada stadium, pemain dan pegawai tidak perlu bimbang apabila semua bilik, kerusi dan laluan mereka sudah di sanitasi atau nyahkuman.

"PSDM akan mengikuti semua peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KKM, kita ingin pastikan saingan Liga M berjalan dengan selamat dan meriah seperti sebelum ini," katanya.