Expired : 18.06.18

Datuk Seri itu bukan pelakon

JABATAN Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menafikan dakwaan pelakon bergelar Datuk Seri ditangkap berkhalwat di Pulau Perhentian, Besut, 5 April lalu.


Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguat Kuasa JHEAT, Nik Zulhaiza Ismail berkata, lelaki bergelar Datuk Seri berusia 40 tahun dan pasangannya berusia 32 tahun yang ditahan di sebuah chalet di Pulau Perhentian itu bukannya artis seperti ditularkan melalui laman sosial.


“Saya mengesahkan memang ada tangkapan dilakukan pegawai dan anggota penguat kuasa JHEAT, tetapi lelaki yang ditahan bukannya seorang artis atau pelakon, sebaliknya pasangan biasa.


“Dengan pengesahan ini, saya meminta semua pihak menghentikan segera mengait dan menuduh JHEAT sengaja menyembunyikan identiti pasangan yang ditahan atas tuduhan berkhalwat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Pada operasi bersepadu jam 1 hingga 5.30 pagi itu, JHEAT menahan seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang sudah beristeri dengan pasangannya yang masih bujang di sebuah chalet di pulau peranginan itu.


Nik Zulhaiza berkata, pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.


Katanya, pasangan berkenaan dibebaskan dengan bon jaminan sementara menunggu proses pendakwaan di mahkamah.


“Selain pasangan itu, JHEAT yang mengadakan operasi bersepadu bersama Majlis Daerah Besut (MDB), Jabatan Imigresen Malaysia negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Laut serta Pasukan Gerakan Marin turut menahan lelaki berusia 30-an kerana minum minuman keras dan pasangan kekasih berusia 20-an kerana berkhalwat,” katanya.


Nik Zulhaiza berkata, tuduhan mengaitkan JHEAT cuba menyembunyikan identiti pasangan yang ditahan atas tuduhan berkhalwat seperti didakwa melalui laman sosial adalah keterlaluan.


“JHEAT melakukan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan tidak akan mendedahkan nama individu yang ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya.


Berita berkaitan


Datuk Seri dicekup berkhalwat


Norlida Ishak Shop