Expired : 18.06.18

DBKL, JKM Diarah Selesai Masalah Bekalan Makanan Di PKPD Pusat Bandar Utara- Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 23 April – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) diarah memastikan masalah agihan bekalan makanan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur selesai hari ini.


Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aduan mengenai bekalan makanan tidak diperoleh mungkin timbul kerana orang ramai terlepas waktu agihan bekalan makanan itu.


“Sebenarnya pengagihan berlaku, tetapi mungkin ada yang tertinggal atau terlepas waktu agihan makanan. Pada masa sama pihak berkuasa juga telah membuka pusat operasi di PKPD itu,” katanya pada sidang media harian perkembangan PKP, di sini, hari ini.


“Jika ada isu mengenai apa sekalipun, sila hubungi pusat operasi yang telah diwujudkan di setiap PKPD, begitu juga kalau mereka memerlukan keperluan barangan lain, mereka boleh menghubungi pusat operasi itu, jadi tidak timbul isu yang perlu diperbesarkan kerana pegawai JKM sentiasa berada di situ,” tambahnya.


Dalam pada itu beliau berkata kerajaan menanggung sepenuhnya bantuan bekalan makanan kepada rakyat Malaysia di setiap PKPD.


Sementara itu, Ismail Sabri berkata bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan di PKPD, kerajaan membenarkan ‘caregiver’ (penjaga) untuk menjaga mereka, tetapi perlu berunding dengan pegawai kebajikan di pusat operasi.


“Di pusat operasi itu bukan sahaja ada pegawai yang bertanggungjawab berkenaan bekalan makanan, malah pegawai daripada Kementerian Kesihatan pun turut berada di sana,” katanya.


Mengulas mengenai dakwaan ada pihak yang melarikan diri dari PKPD sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengesan individu berkenaan dan diambil tindakan.


“Ramai yang bertanya kenapa bila PKPD dilaksanakan tidak ada hebahan sebelum ia ditutup (dilaksanakan), ini kerana kita takut mereka lari, di Selangor Mansion baru-baru ini yang melarikan diri adalah dua orang yang positif COVID-19, terpaksa guna bantuan polis untuk tangkap kerana jika dibiarkan, kita khuatir mereka akan menjangkiti orang lain pula,” katanya.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata kenderaan komersial yang perlu menjalani pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) boleh membuat janji temu terlebih dahulu.


Katanya terdapat permohonan juga daripada Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) supaya Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan Puspakom untuk membuka kaunter bagi membolehkan proses pemeriksaan dan pendaftaran kenderaan.


“Mesyuarat hari ini juga bersetuju, proses itu boleh dilakukan secara dalam talian dan jika perlu dihantar ke Puspakom mereka juga harus membuat janji temu,” katanya. – BERNAMA