Expired : 18.06.18

Dera anak untuk balas dendam

Abu Dhabi: Seorang wanita Filipina tergamak mendera anaknya untuk membalas dendam terhadap bekas suaminya.


Malah, dia juga merakam kejadian yang kemudian dihantar kepada bapa kandung mangsa yang juga warga tempatan.


Dalam rakaman yang kemudian tular di media sosial itu, suspek mengheret anaknya di lantai sebelum memukul dan menengking dengan kata-kata kesat.


Gulf News melaporkan mangsa dilihat menangis kerana kesakitan dan jelas kelihatan lebam pada tubuhnya.


Susulan kejadian, bapa kandung mangsa melaporkan kejadian kepada polis dan suspek ditahan.


Pihak berkuasa Emiriah Arab Bersatu (UAE) memaklumkan wanita itu sudah berkahwin kali kedua dengan lelaki lain yang juga warga tempatan.


Dia dipercayai bertindak demikian kerana mahu membalas dendam terhadap bekas suaminya.


Ia berpunca daripada konflik antara mereka yang belum selesai dan kes itu dirujuk kepada pejabat Pendakwa Raya di sini.


Sementara itu, jurucakap polis berkata, wanita berkenaan akan didakwa mengikut undang-undang.


Berdasarkan undang-undang tempatan, pihak berkuasa boleh mengambil individu berusia bawah 19 tahun, jika mereka diabaikan atau dianiaya.


Mereka yang menghalang tugas akan didenda 50,000 dirham (RM56,960) mengikut undang-undang negara itu.


RAKAMAN video menunjukkan mangsa didera ibunya tanpa belas kasihan. - Agensi