Expired : 18.06.18

DERMAGs UTM Bakal Dipasarkan ke Jepun

KUALA LUMPUR, 3 Feb. — Produk hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), DERMAGs telah terpilih mewakili Malaysia untuk memperkenalkan produk berteknologi nano ke pasaran global di Ekspo Nano Tech 2019, Tokyo Big Sight, Odaiba, Jepun dari 30 Januari hingga 1 Februari 2019.


Ekspo tersebut merupakan kemunculan buat pertama kali Pavilion NanoMalaysia yang diwakili oleh lapan syarikat iaitu DERMAGs Skin Solutions (Biopro Resources Sdn Bhd – UTM), NANOVerify Sdn Bhd, IGL Coatings (Ominent Sdn Bhd), Nanopac (M) Sdn Bhd, Farmasia Sdn Bhd, Acme Chemicals (Malaysia) Sdn Bhd, All Season Synergy Sdn Bhd dan IDC NETWORK (M) Sdn Bhd.


Penyelidik Kosmeseutikal dan Wangian Institut Pembangunan Bioproduk, Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, UTM, Dr. Mariani Binti Abdul Hamid berkata, produk tersebut terpilih mewakili Malaysia dan merupakan satu-satunya produk kosmetik yang berasaskan R&D menggunakan teknologi nano di Malaysia dan mendapat perakuan daripada Nano Malaysia.


Beliau merupakan pengasas kepada DERMAGs berada di Ekspo tersebut untuk turut sama menjalankan aktiviti pameran produk, penerangan produk dan membina rangkaian (distributorship networking).


“Melalui perkembangan yang dicapai dalam ekspo ini, Dermags akan mula bertapak di Jepun dalam masa yang terdekat kerana menerusi program ini dan padanan perniagaan (business matching), ramai yang berminat untuk menjadi pengedar Dermags di sini selain daripada negara-negara lain seperti Thailand dan China,” katanya.


Menurut Dr Mariani, beliau sangat berbangga kerana dapat mengetengahkan hasil penyelidikan daripada UTM dan dalam masa yang sama turut dapat memperkenalkan UTM ke negara luar.


DERMAGs merupakan produk penjagaan kulit semulajadi bertaraf premium yang dibangunkan melalui R&D oleh beliau yang mengandungi bahan aktif Alpha-Mangostin (Alpha-MAGs) daripada kulit manggis.


Produk tersebut telah berjaya memenangi beberapa anugerah emas dan perak dalam pertandingan reka cipta sama ada di dalam dan luar negara, antaranya pertandingan Seoul International Invention Fair (SIIF) di Korea, Industrial Art And Technology Exhibition (INATEX), Industrial Design And Technology Exhibition (ITEX) dan Anugerah Bio Innovation di Malaysia.


Dr Mariani (kanan) Bersama Ahli Lembaga Pengarah Nano Malaysia Berhad, Dato’ Prof. Dr. Rujhan Bin Mustafa
Menyampaikan cenderahati kepada Duta Malaysia ke Jepun, Yang Berbahagia Dato Kennedy Jawan setelah beliau merasmikan Pavilion NanoMalaysia.
Bergambar bersama Duta Malaysia ke Jepun, Ahli Pengurusan Tertinggi Nano Malaysia Berhad dan wakil-wakil syarikat yang mewakili Pavilion NanoMalaysia

Norlida Ishak Shop