Expired : 18.06.18

Detik cemas 3.30 pagi...

“SEJAK peristiwa itu, saya ‘standby’ kayu tepi katil,” luah jurukamera, Mastura Diana Ibrahim, 27, selepas hampir menjadi mangsa rompakan pada Ahad lalu.


Mastura Diana yang juga seorang ibu tunggal berkongsi pengalaman itu di Facebook miliknya mendapat pelbagai reaksi daripada warganet dan tular sejak dimuat naik pada 7 Oktober lalu.


“Tiba-tiba penggera kereta berbunyi 3.30 pagi. Cepat-cepat bangun nak periksa kereta.


“Tengok dari dalam (melalui) tingkap rumah dulu kenapa kereta berbunyi penggera. Sekali nampak pintu kereta terbuka renggang.


“Berdebar, sebab malam tadi masa sampai rumah memang sudah ‘double check’ penggera kereta memang sudah pastikan sudah berkunci sebab kalau tak kunci, tekan penggera mesti berbunyi kan?


“Dalam hati nak keluar ke tak? Sebab sekarang modus operandi banyak orang nak merompak tengah-tengah pagi, itu salah satu taktik mereka supaya kita keluar untuk periksa kereta dan mereka terus dapat jalankan kegiatan merompak,” tulis Mastura yang berasal dari Melaka.


STATUS Facebook yang dimuat naik Mastura Diana. FOTO Mastura Diana Ibrahim



Berkongsi lanjut kepada Harian Metro, Mastura Diana berkata, disebabkan tidak sedap hati dan takut, dia terus menghubungi 999 dan meminta pihak polis untuk membuat rondaan.


Dia akui sementara menunggu ketibaan polis, dia terdengar bunyi seolah baldi dilanggar orang di luar.


Menurutnya, polis peronda bermotosikal dari Melaka Tengah tiba dalam tempoh 15 minit dan ketika itu barulah dia ada kekuatan untuk keluar rumah untuk memeriksa keadaan.


“Sebaik saja polis tiba, mereka mengesahkan pintu kereta saya memang terbuka sedikit namun pelik kerana tiada kesan umpil.


“Allah saja yang tahu macam mana perasaan takut dan ‘cuak’ ketika itu. Nasib baik Allah melindungi saya, anak dan adik-adik,” katanya.


Mastura Diana berkata, dia baru saja menyewa di kawasan perumahan terletak di Telok Mas, sebulan lalu.


“Saya tinggal bersama anak tunggal yang baru berusia 6 tahun dengan dua adik, seorang daripadanya mempunyai anak yang baru berusia satu bulan.


“Rumah ini memang tiada lelaki kecuali anak saya dan adik jadi peristiwa yang berlaku tempoh hari membuatkan kami takut dan tidak lena tidur,” katanya.


Mastura Diana memberitahu tujuan dia berkongsi pengalaman dilalui di laman sosial adalah sebagai peringatan kepada masyarakat agar lebih berhati-hati apabila berdepan dengan situasi serupa.


“Taktik perompak ada macam-macam. Sebaiknya hubungi pihak polis jika rasa curiga dengan keadaan berlaku di rumah, jangan bertindak sebarangan dengan terus meluru keluar,” katanya.


Dia turut memberitahu dalam perancangan untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV).


Selain itu dia akan meminta kebenaran daripada tuan rumah untuk menambah kunci tambahan sebagai langkah keselamatan bagi mengelak kejadian sama berlaku pada masa depan.


Norlida Ishak Shop