Expired : 18.06.18

‘Dia guru terbaik saya,’ pelajar ini pula ‘bongkar’ sikap bekas gurunya

DI tengah-tengah kontroversi seorang guru yang merotan pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Skudai Johor, lebih ramai bekas pelajar tampil mempertahankan guru lelaki tersebut yang dianggap sangat rapat dengan anak-anak didiknya.


Kalau semalam, seorang bekas pelajarnya bernama Siva N Eswaran tampil menceritakan pengalaman belajar dengan guru berkenaan, kini seorang lagi alumni sekolah menengah berkenaan ‘membongkar’ sikap dan perwatakan bekas gurunya itu.


Yepin Koo memberitahu, guru berkenaan dianggapnya sebagai insan yang sangat penyabar dan mengambil berat terhadap pelajaran anak-anak didiknya.


“Saya telah berada di bawah didikannya selama tiga hingga empat tahun. Saya tidak suka subjek bahasa Melayu tapi beliau tetap sabar mengajar. Ketika dalam kelas, jika melihat kami letih maka beliau akan memberi kami masa untuk berehat.


“Kadang kala kami akan stayback di sekolah, beliau akan membelikan makanan untuk kami makan sambil belajar kerana bimbang kami lapar. Dia adalah guru bahasa Melayu saya dan dia adalah guru terbaik saya,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.


Luahan Yepin itu turut dikongsi di sebuah laman persatuan guru Cina, 教师公会 dan mendapat pelbagai reaksi positif dalam kalangan warganet.


Bercerita lanjut, Yepin memberitahu, susulan kejadian terbaru itu, dia dan rakan-rakan ada menghubungi guru lelaki berkenaan dan reaksinya membuat mereka tersentuh hati.


“Saya ada menghubunginya untuk bertanya khabar tetapi beliau kata “I jahat selalu pukul kamu semua.”


“Jujurnya kata-kata cikgu itu tidak benar pun. Cikgu sekali pun tidak pernah mengangkat tangan memukul kami, tidak pernah,” ujar Yepin.


Mengimbas pengalannya, Yepin berkata, dia sangat lemah dalam subjek bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, namun gurunya itu selalu berusaha untuk meningkatkan penguasaannya dalam kedua bahasa berkenaan.


“Beliau selalu bimbang akan keputusan peperiksaan saya, bimbang jika saya tidak mendapat keputusan yang baik dalam subjek Bahasa melayu SPM.


“Namun akhirnya di bawah didikannya, saya peroleh keputusan yang baik dalam subjek bahasa melayu SPM dan dia sangat gembira,” katanya.


Walaupun guru itu seorang yang tegas, Yepin memberitahu, beliau juga seorang yang suka bergurau dan ramah kepada sesiapa sahaja.


“Kami juga pernah bergurau mengatakan beliau adalah lelaki lembut. Tapi sebenarnya beliau tidak sedikit pun berperwatakan perempuan. Setiap kali kami bergurau cikgu juga akan membalas gurauan kami dan beliau tidak marah.


“Hanya pelajar yang masih belajar di sekolah, alumni sekolah dan anak didikan beliau yang faham hanya perbuatan melampau yang akan membuatkan beliau bertindak secara fizikal.


“Orang akan menghukumnya dengan pelbagai andaian, tetapi adakah kita pernah bertanya mengenai perasaannya?,” soal Yepin.


Yepin bagaimanapun berkata, luahannya itu tidak bertujuan untuk memenangkan atau menyalahkan mana-mana pihak, apatah lagi terjerumus dalam pertelagahan di media sosial.


Bagaimanapun, katanya, sebagai bekas pelajar, dia terpanggil untuk menceritakan perkara-perkara yang pernah dilaluinya sepanjang bersama guru berkenaan.


“Jika seorang guru tidak baik, saya percaya takkan ada pelajar yang akan menyokong gurunya. Saya sebagai alumni dan juga pelajar yang masih bersekolah di sana muncul dan bersuara.


“Harap anda semua dapat sama sama berfikir dan muhasabah. Saya juga tidak mengatakan siapa yang bersalah. Tapi saya harap anda tidak melulu menyalahkan siapa-siapa,” jelasnya.


Kelmarin sebuah video tular memaparkan tindakan seorang guru yang telah merotan di beberapa bahagian badan seorang pelajar perempuan didakwa berkelakuan biadap di sebuah sekolah menengah di Skudai, Johor.



Video berdurasi dua minit 28 saat yang tersebar itu menunjukkan seorang wanita meminta penjelasan daripada seorang guru lelaki ekoran anak perempuannya dirotan.


Difahamkan, guru lelaki berkenaan merotan murid perempuan itu disebabkan dia bersikap kurang ajar dengan menggelarkan cikgu berkenaan ‘ah kua’ atau dalam bahasa Melayunya ‘pondan’.


Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching semalam berkata, tindakan guru berkenaan adalah bercanggah dengan garis panduan kementerian dan siasatan akan dijalankan berhubung insiden berkenaan.


The post ‘Dia guru terbaik saya,’ pelajar ini pula ‘bongkar’ sikap bekas gurunya appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop