Expired : 18.06.18

Dibawah Undang-Undang Pengangkutan Baru, Adakah Industri Seru-Pandu Akan Terkubur Tidak Lama Lagi?

Pada tahun lalu, Kementerian Pengangkutan bersama-sama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan SPAD (kini APAD) telah mengatakan bahawa undang-undang baru akan digubal untuk membolehkan syarikat-syarikat seru-pandu (ride-hailing) untuk beroperasi di Malaysia.


Undang-undang baru yang digubal tersebut sepatutnya melindungi para pemandu perkhidmatan ini dan memudahkan proses pendaftaran sebaliknya perlu melalui ujian yang sukar dan memakan masa hanya untuk mencari pendapatan tambahan.


Pada bulan April yang lepas, pihak JPJ mengesahkan langkah-langkah bagaimana seseorang boleh menjadi pemandu seru-pandu, dan prosesnya seakan-akan seperti menjadi seorang pemandu teksi.


Bagaimana Untuk Menjadi Seorang Pemandu E-Hailing Bertauliah?


Bermula 1 April 2019, pemandu kenderaan persendirian boleh mendaftar untuk menjalani kursus latihan lesen memandu vokasional (PSV) di mana-mana pusat latihan memandu vokasional yang diiktiraf JPJ di seluruh Malaysia. Kursus tersebut, yang mempunyai harga siling RM320, hadir dengan kursus selama enam jam, dan ujian selama satu jam.


JPJ turut menyatakan bahawa mereka akan mengeluarkan lesen PSV baru untuk menunjukkan bahawa seseorang itu adalah pemandu syarikat seru-pandu. Untuk para pemandu teksi, apabila mereka memperbaharui lesen PSV, mereka juga akan menerima lesen yang dikemaskini.


Kenderaan-kenderaan persendirian yang digunakan untuk tujuan perkhidmatan seru-pandu ini juga perlu ditukar cukai jalan daripada kenderaan persendirian kepada cukai jalan kenderaan persendirian (e-hailing), selari dengan peruntukan di bawah Seksyen 12(2),

Seksyen 12(3) dan Seksyen 12(4) APJ 1987.


Permohonan ini boleh dilakukan dimana-mana cawangan JPJ di seluruh Malaysia, kecuali di pusat UTC. Menurut JPJ, permohonan ini turut memerlukan beberapa butiran lanjut daripada bakal pemandu seru-pandu, seperti:



  • Borang JPJK8 (Pind.1/2016) – Borang Pindaan/Pembetulan Butir Kenderaan

    dan Pemilik Berdaftar Seksyen 12 APJ 1987;

  • Borang Pengisytiharan Kenderaan Persendirian e-hailing (JPJ-EH1);

    2

  • Maklumat Laporan Pemeriksaan Berkala PUSPAKOM (VR1) yang

    berkuatkuasa bagi kenderaan yang telah mencapai had usia tiga (3) tahun dari tarikh pendaftaran;

  • Borang Pengesahan e-hailing (Electronic Vehicle Permit – eVP); dan

  • Kategori kenderaan yang dibenarkan adalah jenis Motorkar, Jip, Van,

    Kenderaan Pelbagai Utiliti dan Pick-Up (bagi Sabah dan Sarawak sahaja).


Dari segi insurans pula, JPJ tidak mengatakan apa-apa lagi, tetapi ia dikatakan bahawa para pemandu seru-pandu boleh menggunakan insurans kenderaan persendirian, tetapi akan perlu mendapatkan insurans e-hailing yang akan melindungi pemandu jika mereka terlibat didalami kemalangan sewaktu membawa penumpang.


Apabila semua keperluan ini dipenuhi, dan seseorang menjadi pemandu perkhidmatan seru-pandu yang bertauliah, mereka perlu mendapatkan Electronic Vehicle Permit (eVP) dan memasang pelekat e-hailing pada kenderaan mereka untuk menunjukkan bahawa mereka pemandu perkhidmatan seru-pandu yang sah dan bertauliah.


Mengeruhkan keadaan buat syarikat-syarikat dan para pemandu seru-pandu ini, mereka hanya mempunyai tiga bulan, sehingga 12 Julai 2019 untuk mendapatkan lesen dan permit tersebut.


Kekeliruan Awal


Walaupun dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh JPJ kepada pihak awam, badan kerajaan tersebut masih tidak begitu jelas dengan prosedur-prosedur yang perlu dilakukan oleh orang ramai untuk menjadi pemandu e-hailing “bertauliah”.


Pada 1 April 2019, apabila pihak JPJ membuka permohonan untuk menjadi pemandu seru-pandu, ramai orang membanjiri pusat-pusat JPJ untuk mendaftar untuk lesen PSV. Akan tetapi, apa yang mereka tidak tahu ialah untuk mendaftar untuk lesen tersebut, mereka perlu memberi pihak JPJ salinan pemeriksaan kesihatan mereka.


Ini menyebabkan ramai orang membazir masa mereka di pusat-pusat tersebut, dan oleh kerana ini, mereka tidak boleh menjalani kursus 6 jam yang ditetapkan dan menjalani ujian lesen PSV oleh JPJ.


Menurut laporan oleh Harian Metro, pengarah JPJ Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi, kekeliruan yang berlaku adalah kerana para pemohon tidak jelas tentang proses permohonan tersebut, dan sebelum ke pusat JPJ, mereka sepatutnya menghubungi dahulu pusat latihan memandu bertauliah untuk memastikan prosedur yang perlu diperhatikan terlebih dahulu sebelum ke pejabat JPJ.



Pusat-pusat latihan memandu bertauliah yang boleh menjalankan kursus tersebut ada tersenarai di laman web JPJ, dan kursus 6 jam yang baru diperkenalkan boleh dikatakan salah satu daripada perubahan yang baik, kerana mereka yang ingin memohon untuk lesen PSV sebelum ini perlu menjalani kursus selama 18 jam sebelum menjalani ujian JPJ.


Usaha pemandu-pemandu ini tidak berakhir di situ sahaja. Mereka kemudiannya perlu menghantar kenderaan mereka ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan kenderaan, dan selepas itu, mereka perlu mendapatkan cukai jalan baru yang menunjukkan bahawa kenderaan tersebut adalah kenderaan persendirian (e-hailing).


Selepas menyedari bahawa ia agak mustahil untuk meluluskan beratus-ratus ribu pemandu seru-pandu dalam masa beberapa bulan melalui kursus kelas, kursus atas-talian ePSV diperkenalkan untuk mempercepatkan proses tersebut.


Kursus ePSV ini adalah kursus sama yang dijalankan oleh sekolah-sekolah memandu di sekitar Malaysia, tetapi dijalankan secara digital oleh pihak pengelola seru-pandu supaya para pemandu boleh melakukannya di masa lapang mereka.


Satu lagi keputusan wajar yang telah dilakukan oleh Kementerian Pengangkutan ialah untuk membenarkan pemandu OKU untuk terus melakukan pekerjaan ini, dan setakat ini, ia telah dilaporkan bahawa beberapa ratus pemandu OKU telahpun lulus ujian PSV mereka.


Insurans


Selepas lulus ujian 1 jam tersebut, mereka kemudiannya perlu mendapatkan insurans tambahan untuk perkhidmatan seru-pandu mereka. Carian awal di Google menunjukkan bahawa sudahpun terdapat beberapa syarikat insurans seperti MSIG, Alliance dan Kurnia yang mempunyai insurans tambahan e-hailing.



Insurans tambahan e-hailing ini diperlukan kerana jika kenderaan-kenderaan seru-pandu tersebut mengalami kemalangan, insurans persendirian yang sedia ada tidak akan mengambil kes tersebut, dan pemandu perlu membayar segala saman dan/ataupun ganti rugi secara sendiri.



Walaupun secara konsepnya, idea untuk insurans e-hailing ini bagus, insurans ini adalah tambahan kepada insurans kenderaan persendirian sedia ada, dan tidak boleh dibeli secara kendiri.



Pemohon juga perlu menggunakan insurans kenderaan persendirian yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat ini sebelum mereka boleh membeli insurans tambahan e-hailing tersebut, dan jika syarikat insurans yang digunakan oleh mereka tidak mempunyai pilihan ini, mereka perlu menukar insurans kenderaan mereka kepada syarikat yang menawarkan insurans e-hailing.


Electronic Vehicle Permit (eVP)


Electronic Vehicle Permit ataupun eVP adalah sebuah permit yang perlu ditunjukkan kepada pelanggan untuk memastikan bahwa pemandu seru-pandu tersebut adalah pemandu e-hailing bertauliah.


Permit ini, yang perlu didaftar melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan menunjukkan butiran seperti nama, nombor lesen PSV dan juga nombor plat kereta, di antara butiran-butiran lain, mempunyai fungsi yang sama seperti permit pemandu teksi yang sah.


Kami telah bercakap dengan beberapa syarikat seru-pandu mengenai permit eVP ini, dan menurut mereka, walaupun penggunaan eVP telah dipersetujui sejak tahun lepas, rekaan dan cara mempamerkan permit tersebut masih tidak disahkan lagi.


Bagi pemandu perkhidmatan seru-pandu, berita baik disini ialah permit eVP ini adalah sesuatu yang perlu diedarkan oleh pihak syarikat seru-pandu.


Menurut APAD, tiada borang pengesahan eVP disediakan ataupun keperluan pengesahan diperlukan untuk eVP. Syarikat perkhidmatan seru-pandu hanya perlu mengemukakan borang permohonan lesen perniagaan pengantara (LPP) dan di dalam borang tersebut, mereka perlu nyatakan jumlah kuota eVP yang hendak dimohon untuk LPP tersebut.


Jangkamasa keputusan untuk permohonan LPP ini pula dikatakan akan mengambil masa sebanyak 30 hari bekerja dari tarikh borang lengkap tersebut dikemukakan. Pihak APAD kemudiannya akan memberitahu syarikat-syarikat ini berapa banyak permit eVP ini yang akan diterima, dan apabila ianya habis, syarikat tersebut perlu menghantar lagi borang permohonan tersebut.


Mereka menerangkan lagi bahawa buat masa ini, pembaharuan eVP ini bergantung kepada tempoh sahlaku LPP, ataupun usia kenderaan. Buat masa ini, LPP dan eVP kedua-duanya mempunyai tempoh satu tahun.


Penentuan tempoh sahlaku/kuatkuasa yg baharu akan ditentukan semasa proses pembaharuan tahun depan, dan kelulusan adalah tertakluk kepada laporan kewangan dan prestasi syarikat seru-pandu tersebut.


APAD turut menjawab pertanyaan kami mengenai keperluan pemandu untuk mempamerkan eVP ini. Menurut mereka, pemandu seru-pandu tidak perlu mempamerkannya sewaktu membawa penumpang, tetapi perlu jika kenderaan mereka diperiksa oleh pegawai penguatkuasaan untuk mengenalpasti samada mereka adalah pemandu e-hailing yang sah.


Bukan itu sahaja, eVP ini diperlukan untuk pemandu menukar cukai jalan mereka kepada cukai jalan e-hailing, dan sewaktu permohonan untuk penambahan insurans e-hailing.


Buat masa ini, beberapa soalan masih tidak terjawab, seperti rekaan eVP ini, dan samada pengendali perkhidmatan seru-pandu perlu hadir dengan rekaan eVP mereka sendiri.



JPJ juga telah memperkenalkan sebuah pelekat khas unt.uk para pemandu seru-pandu ini supaya penumpang boleh melihat jika kenderaan yang mereka naiki adalah sebuah kenderaan seru-pandu.


Pelekat ini boleh digunakan oleh pelanggan untuk melihat sama ada kenderaan yang tiba untuk mengambil mereka adalah kenderaan seru-pandu yang sah ataupun tidak, tetapi perkhidmatan-perkhidmatan seru-pandu sudahpun mempunyai mekanisme tersendiri untuk mengatasi masalah ini, termasuklah dengan aplikasi GPS yang membolehkan mereka melihat lokasi masa nyata pemandu.


Kelebihan Lesen PSV?


Pendek kata, dengan semua langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh orang awam untuk mendapatkan lesen PSV ini, ia adalah seakan-akan para-pemandu seru-pandu ini hampir menjadi pemandu teksi.


Pemilik lesen PSV, terutamanya pemandu teksi mempunyai beberapa kelebihan berbanding dengan pemandu kenderaan persendirian yang lain. Ini termasuklah kadar bayaran tol yang lebih murah berbanding kenderaan persendirian dan penggunaan minyak LNG (Liquefied Natural Gas) yang lebih murah berbanding petrol RON95 ataupun RON97.


Buat masa ini, pihak JPJ juga masih belum jelas jika para pemandu perkhidmatan seru-pandu akan mendapat kelebihan yang sama seperti pemandu teksi. Apabila ditanya kepada syarikat-syarikat perkhidmatan seru-pandu, mereka juga tidak jelas mengenai perkara ini.


Penguatkuasaan


Orang ramai yang ingin memandu untuk perkhidmatan seru-pandu mesti mendapatkan lesen PSV dan melengkapkan semua proses-proses di atas menjelang 12 Julai 2019.


Buat masa ini, mereka yang belum ataupun sedang dalam proses untuk mendapatkan lesen PSV dan juga eVP masih boleh memandu seperti biasa, tetapi menjelang tarikh yang ditetapkan, undang-undang baru yang mewajibkan lesen tersebut untuk para pemandu seru-pandu akan dikuatkuasakan.


Kami masih tidak tahu siapakah yang akan bertanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang perkhidmatan pemanduan awam ini, tetapi kami telahpun mengajukan soalan mengenai ini kepada pihak JPJ dan APAD, dan sedang menunggu untuk jawapan mereka.


Walaupun begitu, pihak APAD telah mengesahkan kepada kami bahawa eVP perlu ditunjukkan kepada pihak JPJ jika pemandu-pemandu seru-pandu diminta untuk menunjukkannya.


Isu?


Perkhidmatan-perkhidmatan e-hailing seperti DACSEE, Grab, MyCar dan sebagainya bukan sahaja diperkenalkan untuk mengubah industri pengangkutan awam, tetapi juga membolehkan orang ramai mendapatkan aliran pendapatan sekunder dengan mudah menggunakan aset-aset mereka yang sedia ada.


Penguatkuasaan dan pengawalan perkhidmatan seru-pandu ini adalah sesuatu yang sudah lama diminta untuk menguruskan pelbagai syarikat e-hailing yang kini di Malaysia, tetapi peruntukan yang terlalu ketat ini boleh dilihat sebagai satu cara untuk menyekat jumlah pemandu seru-pandu di negara ini.


GrabCar


Selain daripada mendapatkan lesen PSV, syarikat-syarikat seru-pandu di Malaysia sudahpun mempunyai langkah-langkah mereka sendiri untuk memastikan bahawa kenderaan-kenderaan yang digunakan, dan para pemandu perkhidmatan mereka sesuai berada di platform mereka.


Pada hemat kami, mungkin apa yang pihak JPJ dan APAD boleh lakukan ialah untuk melihat kaedah-kaedah yang digunakan oleh syarikat-syarikat ini, dan memberi pandangan mereka supaya mematuhi SOP (standard operating procedure) kedua-dua badan kerajaan tersebut.


Ini lebih cepat dan mudah berbanding daripada merombak semula kaedah sedia ada dan memaksa pemandu membazir masa melakukan semua langkah-langkah tersebut yang akan mengambil masa berminggu-minggu untuk dilengkapkan.



Seperti yang kami katakan sebelum ini, walaupun terdapat ramai pemandu seru-pandu yang melakukan aktiviti tersebut sebagai pekerjaan sepenuh masa, sebahagian besar daripada pemandu-pemandu e-hailing ini hanya melakukan aktiviti ini sebagai satu cara untuk mendapatkan pendapatan tambahan.


Ini terutamanya benar untuk syarikat pengendali seru-pandu terbesar di Malaysia, Grab yang mengatakan bahawa hanya 10 peratus daripada 200,000 pemandu mereka sebelum ini sudahpun mendapatkan lesen PSV ini.


Tindakbalas daripada undang-undang yang mewajibkan lesen PSV ini sudahpun dapat dilihat beberapa hari sebelum ia dikuatkuasakan dengan harga lonjakan sering berlaku walaupun pada waktu-waktu yang sepatutnya tidak begitu sibuk.


Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengatakan bahawa buat masa ini, pihak kementeriannya tidak akan menunda atau mengubah undang-undang yang telah dipersetujui kerana syarikat-syarikat tersebut harus beroperasi dibawah nas undang-undang Malaysia.


Tiada siapa yang menafikan bahawa syarikat-syarikat ini perlu diselia, akan tetapi boleh dikatakan 80 hingga 90 peratus daripada pemandu-pemandu perkhidmatan seru-pandu ini hanya melakukannya secara sampingan ataupun untuk mengisi masa lapang.


Terdapat beberapa syarikat yang mensubsidikan bayaran yang perlu dilakukan untuk menjalani ujian PSV dan juga pemeriksaan PUSPAKOM, tetapi untuk peratusan besar pemandu-pemandu ini, waktu yang diperlukan untuk melengkapkan proses-proses ini bukanlah sesuatu yang berbaloi.


Dikala penumpang sudahpun mengadu mengenai betapa sukarnya untuk mendapatkan pemandu sebelum ini, tanggal 12 Julai 2019 pastinya akan membunyikan tiupan sangkakala untuk kebanyakan perkhidmatan-perkhidmatan ini.


Akan tetapi, mungkin ia masih terlalu awal untuk mengatakan jika ramai orang akan menutup sahaja akaun-akaun pemandu mereka menjelang hari esok, tetapi kami di Amanz akan sentiasa memantau keadaan dan mengemaskini artikel ini dengan maklumat baru mengenai industri ini.


Norlida Ishak Shop