Expired : 18.06.18

Diberhentikan Kerja Mahupun Tak Dapat Berniaga Akibat COVID-19, Zakat Sedia Bantuan Khas RM15 Juta


Penularan pandemik COVID-19 ini bukan sahaja menyerang kesihatan orang yang telah disahkan positif tetapi turut memberi kesan kepada ekonomi rumah tangga dan negara. Pelbagai kaedah yang telah dijalankan oleh kerajaan untuk membantu rakyat yang terjejas termasuk pusat zakat.



Pengurus Perundingan Zakat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS), Ustaz Hamizul Abdul Hamid telah berkongsi pandangannya bersama Nona. “Zakat senyap di musim COVID-19? Di media sosial, ada orang melenting, marah-marah. Apa pusat zakat buat? Kutip zakat laju. Bila orang perlu, mereka diam. Bagilah apa yang patut.


Pengurus Perundingan Zakat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS), Ustaz Hamizul Abdul Hamid

Kita akui, kini ramai orang susah. Sebagai institusi yang dekat dengan orang susah, sejak dari awal saya sudah terbayang. Apa akan berlaku jika kerajaan menguatkuasakan undang-undang. Ya, kuarantin seluruh negara. Saya tidak mampu membayangkan. Dalam keadaan biasa pun, ramai yang susah. Apa lagi sekarang.


Realitinya, kami di Lembaga Zakat Selangor (LZS) dari awal sudah memikirkan hal ini (begitulah pusat zakat negeri lain). Tidak perlu tunggu arahan dari langit. Memang tugas kami. Samalah seperti polis melihat pencuri. Tidak perlu dijerit, polis tahu apa kerja mereka. Namun bukan sesuka hati mengagihkan zakat. Harus ada tatacaranya.



Nah! Bermula 25 Mac 2020, LZS memaklumkan Bantuan Khas COVID-19 (BKC-19) RM15 juta. Manfaatnya difokuskan kepada golongan yang secara langsung terjejas dengan COVID-19, mereka yang diberhentikan kerja, tidak dapat berniaga, gaji hari, tanggungan ramai, dihalang keluar kerana kuarantin dan kelompok B40 malah apa-apa sebab yang sesuai.


Bukan sekadar keluarga dan individu, hospital kerajaan juga. RM1 juta disalurkan seluruh Selangor. Moga ia meringankan beban. Para pesakit Covid-19 perlukan rawatan. Kit ujian juga mahal bukan main. Para petugas juga memerlukan perhatian. Kami berharap, bantuan yang tidak seberapa ini memberikan kelegaan.


Gambar hiasan. Foto: Facebook Lembaga Zakat Selangor

Jika ada ketua keluarga, biarlah dia yang memohon. Jika ada tanggungan, lampirkan bukti. Slip pendapatan atau pengesahan pemberhentian kerja. Jika perlu, surat cuti tanpa gaji atau dikurangkan gaji bulanan. Lesen Perniagaan atau Resit Sewa Tapak Perniagaan atau lain-lain dokumen yang boleh membuktikan pendapatan. Silalah beri.


Kami sebenarnya bertungkus-lumus membantu. Permohonan cuba diluluskan segera. Sayangnya, ada yang sambil lewa. Di ruangan nama, ada meletakkan nombor kad pengenalan. Pengesahan pendapatan pula, diletakkan foto kad ATM. Aduhai.


Gambar hiasan. Foto: Instagram @zakatselangor

LZS tidak minta semuanya disahkan. Cukup dengan mengambil gambar atau imbas (scan) dokumen dan muat naik (upload) ke dalam portal BKC19. Paling utama juga, jangan lupa lampirkan salinan bukti akaun bank. Jika tidak, kami terpaksa menelefon. Ia memakan masa. Permohonan yang masuk jangan dikira.


Sebenarnya bantuan ini tidak seberapa. Maksimum RM500 cuma. Jika diandaikan sebulan, maka sehari hanya sekitar RM16 sahaja. Namun itu lebih baik dari tiada. Sekurang-kurangnya membantu. Selebihnya, pihak kerajaan juga menyediakan pelbagai pakej. Penangguhan bayaran hutang belajar. Bantuan segera dan sebagainya. Malah pihak swasta juga membantu.



Janganlah ada yang mengambil kesempatan. Biar si bujang boleh memohon, sebaiknya utamakan yang sudah beranak-pinak. Jangan pula memohon beramai-ramai dalam sebuah keluarga. Pastikan anda benar-benar terjejas akibat COVID-19. Barulah memohon.


Inilah secebis usaha zakat. Selepas ini, bantulah kami untuk tingkatkan zakat. Kerana manfaatnya balik kepada umat. Semoga Allah SWT selamatkan kita dari wabak COVID-19 ini, amin,” katanya panjang lebar.