Expired : 18.06.18

Didakwa miliki 19 produk tidak lulus KKM, Sajjad didakwa di mahkamah

USAHAWAN kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 34, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas tuduhan memiliki 19 produk kecantikan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Muhammad Sajjad atau turut dikenali sebagai Nur Sajat didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, tahun lalu.


Usahawan itu mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norasidah Abd Rahman.


Berdasarkan kertas pertuduhan, sepasukan anggota dan pegawai Unit Farmasi, KKM melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Bandar Baru Uda, kira-kira 12 tengah hari, 15 Ogos lalu sebelum merampas 19 produk kecantikan bernilai hampir RM10,000.


Muhammad Sajjad bagaimanapun tiada di premis berkenaan ketika pemeriksaan dilakukan.


Antara produk yang dirampas termasuklah pemutih kulit dan produk kecantikan lain.


Rampasn dibuat mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan kawalan dadah dan kosmetik 1984 dan ia satu kesalahan mengikut Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984.


Kes berkenaan pula dilakukan mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.


Pegawai pendakwa Bahagian Perkhidmatan Farmasi Johor memohon mahkamah menetapkan RM8,000 sebagai wang jaminan dan seorang penjamin berikutan kesalahan dilakukan tertuduh yang serius.


Bagaimanapun, peguam bela Muhammad Sajjad memohon wang jaminan sebanyak RM1,500 dengan alasan anak guamnya tidak pernah ingkar arahan mahkamah.


Bagaimanapun, Norasidah menetapkan RM7,000 sebagai jumlah wang jaminan dan seorang penjamin serta 23 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.


Muhammad Sajjad bagaimanapun hanya menjelaskan wang jaminan kira-kira 12 tengah hari selepas menunggu rakannya mengeluarkan wang.


Usahawan berkenaan dilihat cuba mengelak wartawan dan jurugambar dengan menggunakan laluan lain untuk ke kaunter bayaran.


The post Didakwa miliki 19 produk tidak lulus KKM, Sajjad didakwa di mahkamah appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop