v Dituduh Minta RM10,000 Untuk Tempoh Sejam Bersiaran di Televisyen, Ini Penjelasan Youtuber Sugu Pavithra
Expired : 18.06.18

Dituduh Minta RM10,000 Untuk Tempoh Sejam Bersiaran di Televisyen, Ini Penjelasan Youtuber Sugu Pavithra

Youtuber program masakan, Sugu Pavithra didakwa telah meminta bayaran tidak masuk akal iaitu sebanyak RM10,000 hanya untuk tempoh sejam bersiaran di sebuah program TV.

Ini diluahkan oleh seorang pengendali program yang dirahsiakan namanya yang mengeluh di Instastory apabila Sugu meminta bayaran sedemikian rupa. Ini sekaligus membuatkan netizen di luar sana tertanya-tanya apakah benar perkara ini terjadi.

Maka disebabkan itu, keluarga ini telah tampil menjelaskan perkara sebenar mengenai isu tersebut.

Menurut M.Sugu,29, dia dan isterinya S. Pavithra sebenarnya tidak mahu terlibat secara langsung dengan mana-mana program di televisyen.

Disebabkan tidak mempunyai sebarang pengurusan yang baik, pasangan ini mengambil keputusan untuk menolak sebarang tawaran berkaitan program masakan.

“Sekarang ini kami tidak henti-henti menerima permintaan daripada orang ramai untuk program temubual dan tawaran untuk muncul dalam program masakan. Sebenarnya, kami tidak mempunyai pihak pengurusan untuk uruskan. Semuanya diuruskan sendiri,”

Disebabkan juga oleh jadual yang amat padat, pasangan ini dikhabarkan tidak mempunyai banyak masa untuk diluangkan bersama keluarga dan anak-anak. Disebabkan oleh permintaan yang seperti mendesak untuk mereka muncul juga di stesen televisyen, maka mereka berdua terus meletak harga seperti itu.

Ketika dihubungi Gempak, Sugu menjelaskan dia dan isterinya hanya merancang untuk memberi fokus kepada penghasilan video masakan di saluran Youtube ‘Sugu Pavithra’ sahaja selepas ini.

“Tak mahu keluar televisyen. Biarlah kami fokus dengan video masakan untuk dimuat naik di saluran Youtube kami saja, cukuplah,”

Terdahulu, seorang pengendali program stesen televisyen tampil meluahkan kekecewaannya apabila merasakan bayaran yang diminta pasangan ini terlalu tinggi. Menurutnya, bayaran yang diminta itu setanding dengan bayaran cef selebriti seperti Chef Wan.

Sumber: Gempak.com