Expired : 18.06.18

Doktor dan pakar terapi Amerika kaji kebaikan ketuk ketampi

Superbrain Yoga, teknik yoga atau sejak sekian lama dikenali di negara kita sebagai hukuman ketuk-ketampi, yang baharu mendapat perhatian media barat khususnya di Amerika Syarikat (AS).


Walaupun tidaklah mencetuskan fenomena sebagaimana gerak tari menunggang kuda Oppa Gangnam Style oleh Psy dari Korea Selatan, teknik itu tetap popular selepas pakar terapi dan pengkaji perubatan negara itu menyedari kebaikan pergerakan itu dalam merangsang otak.


Difahamkan di AS sekarang, pakar terapi, doktor bahkan para guru sedang mempraktikkan secara meluas pergerakan ketuk-ketampi yang digelar Superbrain Yoga ini – iaitu memegang kedua-dua cuping telinga dengan tangan bersilang sambil menarik nafas dan meninggung diikuti menghela nafas dan berdiri, yang dilakukan secara berulang.


Di laman perkongsian YouTube, semakin ramai yang memuat naik video ‘senaman’ ini yang dibuktikan menerusi kajian perubatan oleh pakar saraf, Dr. Paul Nogier dan pengkaji baharu di Universiti Yale, bahawa ia baik untuk golongan bermasalah pembelajaran seperti kanak-kanak ADHD (hiperaktif), disleksia, autisme dan masalah lain berkaitan otak.


Semasa bersekolah dulu, seingat penulis memang biasa melihat cikgu disiplin terutamanya mendenda rakan sekolah melakukan ketuk-ketampi kerana pelbagai kesalahan ringan seperti datang lewat dan membuat bising.


Sekarang ini, penulis tidak pasti adakah hukuman denda ini masih dilaksanakan. Apa yang pasti, ia tidak dipraktikkan sebagai satu pergerakan senaman untuk merangsang otak.


Justeru apabila baru-baru ini, ada ibu bapa yang berkongsi video ketuk-ketampi Superbrain Yoga di dalam grup Whatsapp, penulis tertanya-tanya adakah mereka sudah bersedia menerima pergerakan ini sebagai senaman yang baik untuk kesihatan otak anak-anak dan bukannya satu bentuk hukuman?


Mungkinkah tidak ada ibu bapa yang akan marah-marah dan ‘menyerang’ guru jika anak-anak mereka diarah melakukan ketuk-ketampi setiap hari sebagai satu bentuk senaman?


Tetapi jika benar tidak ada ibu bapa atau NGO yang akan marah, penulis tidak merasa teruja pun. Nampaknya, kita masih memerlukan orang barat untuk menunjukkan apa yang baik untuk kita menerimanya walaupun perkara itu sebenarnya sudah menjadi amalan kita.



Norlida Ishak Shop