Expired : 18.06.18

Doktor hina Sultan Kelantan letak jawatan


BANGI, 4 Jamadilawal 1440H, Khamis – Seorang doktor yang menghina Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta, kata Kumpulan Klinik Medivron.


Dalam satu kenyataan semalam, kumpulan klinik berkenaan melahirkan rasa kecewa terhadap komen yang diberikan oleh Dr Rupesh Muniandy dari Klinik Medivron di Jalan Raja Harun, Kajang di laman Facebooknya.


“Komen yang dibuat secara peribadi olehnya tidak mencerminkan apa jua pendapat dan penilaian kakitangan dan pengurusan Kumpulan Klinik Medivron.


“Nilai-nilai yang kami tanamkan selama 33 tahun dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik oleh doktor-doktor dan jururawat kami meliputi pelbagai kaum dan masyarakat di Malaysia.



“Sebagai rakyat Malaysia kami sentiasa berlandaskan prinsip Rukun Negara,” kata kumpulan klinik berkenaan sambil meletakkan lima prinsip Rukun Negara di dalam kenyataan mereka.


Kumpulan itu berkata, Dr Rupesh telah memohon maaf di atas komennya di dalam akaun Facebook beliau dan bersetuju bertanggungjawab sepenuhnya.


“Beliau telah melepaskan jawatannya sebagai doktor di cawangan Klinik Medivron di Jalan Raja Harun, Kajang dengan serta-merta,” kata kenyataan itu.


Kenyataan Dr Rupesh tular di media sosial sejak beberapa hari lalu dan netizen menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas sebagaimana tangkapan terhadap tiga individu yang menghina Sultan Kelantan.


Dia bagaimanapun, memohon maaf dan kesal di atas komen yang dibuat sehingga menyakitkan hati banyak individu.



Kelmarin, polis menangkap tiga individu, termasuk ‘Eric Liew’ kerana memuat naik komen berunsur hinaan terhadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, susulan peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, Ahad lalu.


Ketiga-tiga yang ditahan semalam, ialah Eric Liew Chee Ling yang juga pemilik akaun Facebook Eric Liew; Azham Akhtar Abdullah (pemilik akaun Twitter @azhamakhtar); dan Nur Alia Astaman (pemilik akaun Twitter @aliaastaman).


Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ketiga-tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.


Selepas komen Eric Liew menjadi tular, majikannya Cisco Asean, sebuah syarikat multinasional teknologi maklumat, mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak lagi bertugas dengan firma itu.


Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad pula menggantung tugas Nur Alia berkuat kuasa serta-merta.


The post Doktor hina Sultan Kelantan letak jawatan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop