Expired : 18.06.18

Dr Mahathir akui sudah mula letih tangani isu kerajaan

Tun Dr Mahathir Mohamad, mengakui mula merasa lelah menunaikan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri untuk menangani isu yang diwarisi kepimpinan terdahulu.


Dalam satu wawancara dengan AFP di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya semalam, pemimpin berusia 93 tahun itu berkata, beliau “sepatutnya sekarang sudah mati, sebenarnya.”


Mahathir menyebut rundingan semula perjanjian dengan China, yang dimeterai pentadbiran terdahulu dan hutang negara sebagai cabaran terbesar yang dihadapi kerajaannya.


“Ia meletihkan, kali ini, saya perlu buat kerja lebih banyak daripada pertama kali saya jadi perdana menteri. Jentera kerajaan seluruhnya hampir musnah,” katanya.


Kenyataan itu bagaimanapun disambut pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata menyifatkan ekonomi Malaysia pada dasarnya berada dalam keadaan yang baik ketika ditinggalkan Barisan Nasional (BN).


Keputusan Pakatan Harapan (PH) menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menyebabkan kantung kerajaan semakin menyusut dan pada masa sama Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) gagal menurunkan harga barang seperti yang dijanjikan dalam manifesto.


Mahathir pernah berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003, dan kemudian menjadi perdana menteri kali kedua selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi pilihan raya umum (PRU) pada 9 Mei.





Penguasaan semula Mahathir menyaksikan ramai tokoh dalam kerajaan – dari Gabenor Bank Negara kepada Peguam negara – sama ada meletakkan jawatan atau digantikan.


“Saya terpaksa menyingkirkan orang-orang ini, yang pada masa lalu, di bawah kerajaan terdahulu terlibat dengan kerajaan secara politik.


“Banyak perkara yang dirosakkan oleh Najib dalam usahanya untuk menggunakan setiap institusi bagi memastikan dia memenangi pilihan raya,” katanya.


PH bagaimanapun dilihat meneruskan tradisi melantik orang politik menerajui Syarikat Milik Kerajaan (GLC) walaupun ia bertentangan dengan janji pilihan raya.


Mahathir berkata pentadbirannya terpaksa membatalkan beberapa projek mega yang dibiayai China, seperti Projek Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan projek saluran paip gas, kerana kerajaan tidak mampu menanggung kos tersebut.


Walaupun wujud percanggahan pandangan ekoran pembatalan tersebut, ditambah pula polemik cadangan kereta nasional ketiga, Mahathir berkata, ia terpulang kepada pandangan rakyat.


Perdana Menteri menambah meskipun projek-projek berkenaan dibatallkan, namun hubungan Malaysia dengan China “masih bagus”.


Mahathir juga mengulas mengenai hubungannya dengan bakal presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dikatakan bakal menggantinya.


Beliau menolak dakwaan hubungan tegang antara kedua-dua mereka, dengan mengatakan: “Saya telah bekerja dengannya sebelum ini. Saya tidak mempunyai masalah, saya boleh bekerjasama dengan semua orang.”









Dalam pada itu Mahathir mengakui bahawa seiring usia yang semakin meningkat, beliau tidak mempunyai pilihan melainkan melepaskan jawatan.


“Saya telah berjanji, saya akan tunaikan janji” katanya dipetik mengatakan bahawa beliau akan berpegang teguh kepada janji untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.


Sebelum pilihan raya, Pakatan Harapan berkata Mahathir akan berundur selepas dua tahun dan Anwar akan menggantikan tempatnya sebagai perdana menteri kelapan.


Bagaimanapun, Mahathir beberapa kali menyatakan beliau akan kekal memegang jawatan itu bagi tempoh yang lebih lama.


Ini membangkitkan perbincangan mengenai kemungkinan ia akan mengulangi insiden pada tahun 1998 apabila Mahathir memecat Anwar atas tuduhan salah laku seks, yang didakwa bekas timbalan perdana menteri sebagai suatu rekaan.


Terdahulu minggu ini, Anwar menolak dakwaan berlaku konspirasi dalam usaha untuk menggagalkannya daripada menjadi perdana menteri yang akan datang.


The post Dr Mahathir akui sudah mula letih tangani isu kerajaan appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop